PUTRAJAYA – Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menawarkan caj percuma kepada pengguna kenderaan untuk menghantar atau mengambil penumpang dalam tempoh kurang 10 minit bermula hari ini.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, bagaimanapun, sistem itu yang berperanan menambah baik aliran trafik di kawasan tepi jalan serta menyediakan akses lebih lancar akan mengenakan caj penalti untuk minit berikutnya.
“Tempoh ihsan 10 minit disediakan bagi urusan menghantar atau mengambil penumpang dengan cepat.
“Skrin digital di lokasi pula akan memaparkan nombor pendaftaran kenderaan yang melebihi had 10 minit.
“Semasa keluar, sistem mengira tempoh keseluruhan kenderaan berada di kawasan itu secara automatik dan kenderaan yang melebihi had akan dikenakan penalti sehingga maksimum RM100,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Dalam konteks ini, bagi tempoh 10 minit hingga 15 minit, caj penalti adalah sebanyak RM10, 15:01–20 minit RM30), 20:01–25 minit (RM60), 25:01–30 minit (RM100).
Menurut MAHB, VAMS menggunakan pembaca nombor pendaftaran automatik (License Plate Readers – LPR) untuk merekod masa masuk setiap kenderaan.
“Pembayaran boleh dibuat menggunakan Touch ‘n Go, kad kredit atau MyDebit,” kata nya.
MAHB berkata, sistem itu digunakan bagi memastikan aliran trafik di tepi jalan (kerbside) lebih lancar, mengurangkan kesesakan, membendung aktiviti ulat teksi dan mengukuhkan keselamatan serta keselamatan kawasan berkenaan secara keseluruhan.
“Fasa percubaan menunjukkan perubahan dalam tingkah laku pemanduan dan dalam tempoh tiga bulan lalu, jumlah kenderaan yang melebihi had 10 minit di kawasan kerbside menurun daripada 50 peratus kepada 21 peratus.
“Ia menunjukkan tahap kerjasama pengguna yang tinggi dan pengurangan ketara dalam kesesakan.
“Data sepanjang tempoh percubaan mengesahkan keperluan untuk beralih kepada penguatkuasaan penuh secara berfasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2



















![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)





























