Saling melengkapi, Bella, Syed Saddiq bagai Yin dan Yang

1 week ago 16

KUALA LUMPUR – Tampak serasi , rakan baik Bella Astillah, pelakon Dynas Mokhtar menyifatkan selebriti itu dengan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq umpama ‘Yin dan Yang’ apabila saling melengkapi walau berbeza dunia.

Dynas atau nama lengkapnya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 41, berkata perbezaan lapangan seni dengan kerjaya politik bukan penghalang untuk mereka memahami satu sama lain.

“Bella dan Syed Saddiq macam falsafah Cina, ‘Yin dan Yang’ iaitu dua entiti berbeza tetapi boleh serasi dan saling melengkapi. Bella dari industri hiburan dan yang seorang lagi (Syed Saddiq) ahli politik. Kalau sama-sama ‘Yin’ pun susah juga.

“Cuma yang saya tahu mereka berkawan sahaja. Tapi comel kan kalau betul mereka bersama,” katanya ketika ditemui selepas majlis kesyukuran filem Impak Maksima 2 di Saloma Bistro, baru-baru ini

Pada masa sama, Dynas yang turut akrab dengan keluarga Bella turut berharap penyanyi dan pelakon terbabit dipertemukan jodoh dengan lelaki sebaik Syed Saddiq.

Begitupun, ibu kepada empat anak itu menitipkan pesanan agar wanita berkenaan tidak terburu-buru mencari pengganti, sebaliknya meluangkan masa dulu dengan anak-anak.

“Saya ada berbual dengan Bella, kalau dapat jenis yang macam bagi layanan baik mestilah seronok.

“Harapnya dia jumpa lelaki seperti itu kerana Bella seorang ibu tunggal. Kalau tiada pengganti kasihan pula pada dua anaknya yang tiada figura bapa.

“Cuma saya pesan jangan pula tergesa-gesa dalam perhubungan kerasa saya pernah melalui fasa itu (kembali solo), berseronoklah dulu dengan anak-anak, cipta banyak kenangan,” ujarnya.

Terdahulu, keakraban dua personaliti popular itu semakin hangat diperkatakan selepas masing-masing dipilih mewakili sebuah jenama pakaian.

Mereka kerap meluangkan masa bersama, malah turut berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu Sabah, selain memberikan bantuan makanan di Semporna, baru-baru ini.

Keluarga Syed Saddiq termasuk ibu dan abangnya memberi bayangan merestui andai mereka bercinta biarpun Bella sebelum ini hanya memaklumkan mahu fokus terhadap anak dan kerjaya seni.

Mengenai filem aksi permotoran Impak Maksima 2 arahan Ahmad Idham, katanya selepas 18 tahun dia kembali semula ke set penggambaran tersebut.

“Watak saya sebagai anggota polis wanita. Babak tak banyak tapi mencabar. Rasa macam mimpi pula kesinambungan filem ini direalisasikan.

“Memang tepat pada masanya. Kali ini penerbitannya lebih mega serta sarat babak perlumbaan, bahkan sepanjang sebulan menjalani pengambaran ada sahaja babak dirakamkan tular. Tak sabar tunggu tayangan pertengahan tahun ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |