SEBAGAI umat Islam, antara tempat yang ingin dikunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup tentu sahaja tanah suci Mekah.
Walau ada yang sudah menjejakkan kaki ke segenap pelosok dunia, beribadah di Tanah Suci mencetuskan perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Dapat bersujud di hadapan Kaabah merupakan impian ramai yang berharap dijemput Ilahi ke sana.
Dalam kalangan selebriti terutama berusia sekitar 30-an ke bawah, ada yang bertuah apabila lebih dua kali menjadi tetamu Allah.
Bersempena Ramadan, Gala menyenaraikan beberapa selebriti yang diberi rezeki berulang kali mengerjakan umrah.
Zoey Rahman
Pelakon dan pengacara Zoey Rahman antara artis yang kerap ke Mekah dan Madinah sejak beberapa tahun lalu. Dalam sebuah wawancara, penggiat seni kelahiran Besut, Terengganu itu mendedahkan sudah melakukan umrah sebanyak 10 kali.
Pelakon filem Legenda Budak Setan itu berbuat demikian kerana ingin lebih dekat dengan Allah disebabkan banyak berbuat dosa. Kali terakhir Zoey atau nama sebenarnya Mohd. Hairey Azhar Abd. Rahman, 39, ke Mekah dan Madinah adalah pada Disember tahun lalu.
Bella Astillah
PELAKON dan penyanyi Bella Astillah termasuk dalam senarai mereka yang beberapa kali diundang Allah ke Mekah. Kali pertama adalah pada November 2019 dengan disertai keluarganya iaitu selepas bercerai dengan bekas suaminya, Aliff Aziz.
Ibu kepada dua cahaya mata itu kembali ke Tanah Suci dua tahun kemudian bersama bekas suami, Aliff Aziz selepas rujuk. Bella sekali lagi dijemput Allah sekitar tahun lalu bersama beberapa selebriti yang turut dikongsikan dalam media sosial.
Eyka Farhana
SELEBRITI bertubuh kecil molek, Eyka Farhana menyambut Ramadan tahun ini dengan mengerjakan umrah bersama keluarga, famili bakal mentua dan tunangnya, Akhyar Rashid. Keterujaan merasai pengalaman berpuasa di Tanah Suci turut dikongsikan dalam laman sosial miliknya.
Akhir tahun lalu pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan 2 itu antara artis yang menyertai rombongan umrah dengan Bella Astillah. Sekitar Julai tahun sama juga Eyka, 29, lebih dulu mengerjakan umrah bersama adiknya, Dyba Farhana.
Zul Ariffin
PERNAH berkongsi pengalaman mengerjakan umrah kali pertama pada September 2022, selepas itu aktor Zul Ariffin antara selebriti yang kerap ke Tanah Suci. Walaupun tidak mendedahkan jumlah pemergian ke Mekah dan Madinah, pelakon berusia 39 tahun itu selalu ke sana bahkan tidak kisah mengerjakan umrah bersendirian.
Menurut Zul lagi, jika dulu dia memilih laut sebagai destinasi percutian, kini Tanah Suci menjadi destinasi utama dalam hidupnya. Sepatutnya bulan Ramadan ini dia ingin berpuasa di sana tetapi hajatnya tidak kesampaian, namun berharap dapat menunaikan ibadah haji pada tahun ini jika diberi kesempatan.