KAJANG – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 30 Oktober bagi keputusan representasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd. Ali dan 21 lagi individu berhubung pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Dalam prosiding di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang di sini hari ini, Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar menetapkan tarikh itu selepas
Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun
memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan masa untuk meneliti representasi tersebut.
Semasa prosiding peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili tertuduh-tertuduh bersetuju dengan tarikh baharu yang ditetapkan bagi status representasi tersebut.
Sejurus selepas prosiding, Rosli ketika ditemui memberitahu representasi yang dikemukakan adalah untuk AGC mengkaji semula pertuduhan termasuk seksyen yang memperuntukkan hukuman yang lebih rendah.
Sebelum ini, Nasiruddin serta 12 lagi pemohon tidak dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Kesemua 12 pemohon itu selain Nasiruddin ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33, Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd. Fazil Md Jasin, 58, Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Dengan keputusan itu Nasiruddin dan 12 lelaki tersebut kekal dalam penjara hingga perbicaraan.
Sementara, sembilan tertuduh wanita termasuk isteri Nasiruddin didakwa atas pertuduhan sama dibenarkan diikat jamin.
Mereka ialah isteri CEO GISBH, Azura Md Yusof, 58, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly ,45, Mahani Kasim, 55, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29, Nur Jannah Omar, 33, Siti Salmiah Ismail, 58 dan Hamimah Yakub, 73,.
Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan , mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang di sini antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini dalam penghakimannya berkata 13 lelaki yang ditolak pernohonannya kerana mereka gagal memenuhi syarat yang dikategorikan yang termaktud seksyen 13 (2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 selain mahkamah mendapati kesihatan pemohon-pemohon terkawal dan boleh menjalani aktiviti harian serta berdikari. – KOSMO! ONLINE