KOTA TINGGI – Polis daerah Kota Tinggi merampas barangan `e-waste’ termasuk kelongsong peluru, anak peluru serta komponen kapal terbang bernilai kira-kira RM23.8 juta di sebuah kilang di Jalan Lombong di sini, pukul 4 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, polis turut menahan seorang lelaki warga China dan pasangan warga Myanma berusia antara 20an hingga 50an semasa serbuan Op Lusuh itu dilakukan bagi membantu siasatan.
“Polis merampas 75 guni kompenan elektronik (46,214 kg), sembilan guni mengandungi aluminum dan plastik (514 kg), 66 mampat kompenan elektronik (103,983 kg), 18 mampat wayar elektrik (22,791 kg), 166 guni tembaga (369,954kg), 62 tong mengandungi metal scrap (29,085kg) dan 43 gelung besi.
“Turut dirampas 10 tong mengandungi bebola timah dan serbuk besi, tujuh tong kelongsong peluru, satu tong mengandungi anak peluru, tiga buah forklift, sebuah kereta jenis Proton X50, dua unit kunci mangga dan tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama. Barang buangan berbahaya yang dirampas akan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di lokasi rampasan hari ini.
Yusof berkata, kesemua suspek diberkas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia dan mereka kini ditahan dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini.
Kata beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 dan Seksyen 34b Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Muhamad Syahrizat Alwee berkata, kilang haram berkenaan yang sebelum ini beroperasi sebagai kilang elektronik akan disita kerana menjalankan kegiatan itu secara haram. – KOSMO! ONLINE