Persoalan undang-undang: Anwar selesai fail notis rayuan ke Mahkamah Rayuan

1 day ago 10

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan, semalam berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada perdana menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

Perkara itu disahkan peguam Datuk Seri K.Rajasegaran yang mewakili Anwar ketika dihubungi media hari ini.

“Kita fail notis (rayuan) tersebut semalam sebaik sahaja tamat prosiding. Untuk permohonan tangguh prosiding (perbicaraan), kita perlu mendapatkan terlebih dahulu nombor rujukan kes di Mahkamah Rayuan. Bila nombor rujukan telah dapat, baru kita boleh fail permohonan untuk tangguh perbicaraan bersama notis perakuan segera. Harap boleh dapat sebelum 16 Jun ini (hari pertama perbicaraan kes),” kata peguam itu.

Semalam peguam itu berkata berdasarkan Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Tambah beliau, selaras dengan peruntukan undang-undang, pihaknya akan memohon penangguhan prosiding perbicaraan bagi memelihara integriti proses rayuan dan memastikan bahawa pihak defendan (Anwar) tidak terdedah kepada prosiding yang mungkin akhirnya didapati tidak dibenarkan oleh Perlembagaan.

Terdahulu Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi peruntukkan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Anwar memfailkan permohonan itu pada 23 Mei, bagi meminta Mahkamah Tinggi yang mendengar saman tersebut merujuk lapan persoalan undang-undang berkenaan kepada Mahkamah Persekutuan.

Lapan persoalan undang-undang itu termasuk sama ada, di bawah Artikel 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat menikmati kekebalan terhad daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan salah laku peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.

Dua minggu lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman sivil yang difailkan bekas pembantu penyelidiknya Muhammad Yusoff Rawther. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |