DENGKIL- Kerajaan akan mempercepat pembangunan projek perumahan khas untuk penjawat awam di kawasan bandar utama susulan peningkatan kadar sewa yang semakin membebankan kumpulan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu kos sewa kediaman yang tinggi kini menjadi antara masalah utama dihadapi penjawat awam terutama di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur, Seremban dan Ipoh.
Beliau berkata, walaupun kerajaan telah melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam antara 15 hingga 30 peratus, peningkatan tersebut dalam sesetengah keadaan masih tidak mampu menampung kenaikan kos sewa rumah.
“Saya dalam perjalanan hari itu di Pulau Pinang, di Perak, di Negeri Sembilan, Johor dan Kuala Lumpur, masalah yang dihadapi penjawat awam ini serius, iaitu kadar sewa meningkat.
“Walaupun kita naikkan gaji mereka di antara 15 hingga 30 peratus, tapi kadang-kadang kalau di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Seremban dan Ipoh, ia tidak dapat menampung kadar sewa yang meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah Pekan Dengkil, di sini hari ini.
Katanya, kerajaan telah mengenal pasti tanah milik kerajaan yang berpotensi dibangunkan bagi tujuan perumahan penjawat awam termasuk tanah milik agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Anwar berkata, sebarang kawasan yang mempunyai ruang bersesuaian akan dibangunkan dengan projek perumahan yang menawarkan kadar sewa lebih rendah bagi mengurangkan beban kos sara hidup penjawat awam.
“Di Johor Bahru dan Kuala Lumpur, tanah yang milik kerajaan sama ada untuk kastam atau polis, sebaik saja ada ruang, kita akan bangunkan perumahan untuk penjawat awam.
“Dengan sewa yang murah supaya dia dapat sewa dengan kadar yang murah, jadi tidak membebankan keluarga,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan akan disegerakan sebagai sebahagian usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.
“Ini langkah-langkah yang kita ambil dan kita akan segerakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
5










![[VIDEO] ‘Tujuh hari terasa panjang, banyak ruang kosong’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/nancy.jpeg)






































