Peniaga kecil makanan dibenar guna LPG bersubsidi

1 day ago 13

PUTRAJAYA – Golongan peniaga berskala mikro dan kecil bagi perniagaan jualan makanan dan minuman dibenar menggunakan Gas Petroleum Cecair (LPG) bagi keperluan premis perniagaan sendiri sementara pindaan kepada peraturan berkaitan dilaksanakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, dalam tempoh pindaan itu, tidak ada tindakan undang-undang diambil kepada golongan peniaga itu.

Katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini meluluskan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya dilaksanakan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 yang sebelum ini telah diluluskan oleh pentadbiran kerajaan lalu dan berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.

“(Sementara tempoh pindaan) para peniaga mikro dan kecil makanan dan minuman dibenarkan untuk mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa keperluan permit barang kawalan berjadual,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di sini hari ini.

Menurut Armizan, PPKB (Pindaan) 2021 tersebut sebelum ini telah menetapkan sekatan had kepada peniaga bagi pemilikan dan penggunaan LPG melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa yang memerlukan kepada Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).

Katanya, antara teras kepada pindaan yang akan dibuat adalah mengambil kira keperluan peniaga jualan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil secara bersasar.

“Ini termasuk mewujudkan kejelasan undang-undang (clarity of law) untuk memastikan keberkesanan pematuhan dan penguatkuasaan,” katanya.

Armizan berkata, semakan dan pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 ini akan diselaraskan Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN.

Katanya, ia turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan selain mendapatkan syor dan pandangan daripada pelbagai pemegang taruh.

Pada masa sama, kata beliau gerak kerja membanteras ketirisan yang melibatkan aktiviti haram decanting dan penggunaan oleh industri melalui Op Gasak akan diteruskan.

“Aktiviti haram decanting ialah pemindahan daripada tong bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi termasuk penguatkuasaan ke atas penggunaan oleh industri akan diteruskan.

“Sasaran kita pindaan ini dapat dimuktamadkan sebaik sahaja Op Gasak ini selesai pada 31 Oktober depan,” katanya. – KOSMO! ONLINS

Read Entire Article
Pertanian | | | |