KUALA LUMPUR – Sektor swasta dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan perlu menilai penglibatan pekerja wanita di peringkat pengurusan tertinggi yang disifatkan sebagai masih terlalu kecil dan tidak cukup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri akan meminta perkara itu diberikan perhatian dan mendapatkan laporan mengenai penglibatan wanita.
“Kerajaan tidak boleh memaksa sektor swasta, namun ia perlu memiliki perancangan yang teliti.
“Saya telah gesa bahawa sektor swasta, harus ada pertanggungjawabannya. Sektor swasta, terutama syarikat-syarikat besar dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan harus mulai membuat penilaian,” katanya ketika sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Terdahulu, sektor swasta merekodkan sekitar 26 peratus penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi, berbanding sektor awam kira-kira 38 peratus.
Bagi sektor awam, Anwar telah meminta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar agar mencari jalan meningkatkan kedudukan wanita dalam pengurusan tertinggi, setimpal dengan keupayaan mereka.
Jelas Perdana Menteri, walaupun terdapat peningkatan wanita dalam pengurusan tertinggi di sektor kerajaan, tetapi ia masih boleh diperbaiki.
“Kita tidak pilih wanita itu kerana kebetulan dia wanita. Kita pilih kerana mereka mempunyai peluang dan kewibawaan dengan prestasi yang cemerlang. Dan mereka tidak harus disisihkan, atau ditinggalkan semata-mata kerana kebetulan adalah wanita,” jelas beliau.
Perdana Menteri turut menekankan, penyertaan wanita dalam arena politik terutamanya bilangan wanita dalam Dewan Rakyat hanya sekitar 14 peratus, dengan sasaran nasional sekurang-kurangnya adalah 30 peratus. – KOSMO! ONLINE.