KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan tiga tangkapan dan tiga pertuduhan berkaitan aktiviti pengintipan dilakukan di negara ini sejak 2022 hingga 2025.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga individu itu terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan dua warga China.
“Kita pernah tangkap seorang perempuan namanya Nidarahayu Zainal. Umur baru 30-an. Dia ada tiga orang anak. Dia direkrut oleh perisikan Israel. Misinya adalah untuk menculik dua lelaki Palestin, Omar al-Baisi dan Muhammad al-Hadad.
“Ini berlaku (ditangkap) 3 Oktober 2022. Dua lelaki Palestin dapat kita selamatkan oleh pasukan polis. Nidarahayu kita tangkap dan sekarang sedang dibicarakan. Dia warga tempatan. Kelulusan SPM saja.
“Ini satu contoh bagaimana modus operandi dibuat tujuan pengintipan ini untuk tujuan politik. Sebab dia direkrut oleh ejen Mossad Israel,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Roy Angau anak Gingkoi (-Lubok Antu) mengenai langkah-langkah pencegahan dan intervensi bagi mengatasi unsur-unsur pengintipan yang berlaku dan mampu menjejaskan keselamatan negara.
Saifuddin menjelaskan, modus operandi pengintipan sering berorientasikan politik, termasuk perekrutan individu tempatan oleh ejen Mossad Israel.
Saifuddin berkata, mana-mana individu yang dikenal pasti melakukan kesalahan pengintipan di negara, mereka akan dihadapkan ke mahkamah dan menjalani hukuman penjara sebelum dihantar semula ke negara asal.
“Setelah dia menjalani hukuman penjara, selesai hukuman penjara, kita akan hantar dia baliklah. Kita usir dia.
“Kalau negara kita dengan negara dia ada perjanjian ekstradisi, kita akan gunakan kaedah ekstradisi. Kita ada 11 negara yang kita ada perjanjian ekstradisi. Ekstradisi ini kalau dia melakukan juga kesalahan di negara dia, jadi negara dia beritahu negara kita, dia itu dalam senarai dikehendaki,” katanya.
Selain itu, Saifuddin tidak menolak kemungkinan Malaysia berpotensi menjadi destinasi aktiviti pengintipan kerana kedudukannya yang strategik dalam geopolitik rantau ini.
“Kita punya sejarah yang lama dan baru juga dalam mengesan aktiviti pengintipan. Yang jelas, ianya satu potensi ancaman yang sangat serius.
“Terutama dalam geopolitik, negara kita sekarang. Boleh jadi kerana ketegasan Ahli Parlimen Tambun, kuat mengkritik negara terlibat. Kemudian di negara kita, ada sejumlah NGO yang aktif memperjuangkan isu itu.
“Sebab itu, negara kita boleh saja menjadi negara sasaran bagi negara Israel. Dia boleh. Sebab itu saya sebut aktiviti penyusupan ini boleh jadi, ekonomi, boleh jadi politik, boleh jadi ketenteraan,” katanya. – KOSMO! ONLINE