KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan tidak membuat pengawasan dan pemeliharaan yang wajar sehingga menyebabkan kematian terhadap seorang bayi lelaki asuhannya di sebuah taska tiga bulan lalu.
Bagaimanapun tertuduh Nor Fatihah Abdul Rahim ,24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan tertuduh sebagai pengasuh taska itu didakwa tanpa mengadakan persediaaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan sembilan hari.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di daerah Wangsa Maju di sini pukul 11.08 pagi pada 26 Mei lalu (2025) yang didakwa mengikut Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip tidak mencadangkan sebarang ikat jamin memandangkan pertuduhan terhadap tertuduh adalah serius kesalahan kerana pertuduhan sehingga menyebabkan kematian terhadap bayi tersebut.
“Namun sekiranya mahkanah berhasrat memberikan ikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah amaun jaminan tinggi, RM30,000 ke atas dengan syarat tambahan, melapor diri di balai polis sekali setiap bulan, menyerahkan pasport serta tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.
Namun Nor Fatihah yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan bukan datang dari keluarga senang selain menanggung keluarganya.
“Saya ada tanggungan ibu, adik dan ayah kandung sakit saraf di kampung. Selain itu, saya ada komitmen dan hujung tahun ini akan berkahwin,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah Hakim Siti Shakirah membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan sepeeti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes.
Sejurus selepas prosiding, tertuduh yang memakai jubah hijau kemudian dilihat menangis teresak-esak sambil ditenangkan ahli keluarganya sebelum digari untuk dibawa ke lokap mahkamah.
Sebelum ini, kematian bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Danau Kota di sini disahkan akibat tersedak susu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata perkara itu disahkan berdasarkan bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Punca kematian disebabkan sesak nafas (aspnyxia) akibat tersedak makanan dan susu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata bapa bayi itu membuat laporan di Balai Polis Setapak beberapa jam selepas kejadian dipercayai berlaku, iaitu antara pukul 9 hingga 11 pagi. – KOSMO! ONLINE