KUALA LUMPUR – Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru yang terletak di Kampung Baru, berhadapan dengan Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC) kini mencatatkan kemajuan positif selepas sembilan tahun dalam fasa perancangan.
Inisiatif ini merupakan usaha bersama antara penduduk dan pemaju bagi meningkatkan taraf hidup melalui penyediaan kediaman moden, infrastruktur lebih baik, serta kemudahan awam serba lengkap.
“Bagi kami penduduk Kampung Sungai Baru, pembangunan semula bukan lagi satu pilihan, ia adalah keperluan mendesak dan satu-satunya jalan penyelesaian terhadap realiti kehidupan yang semakin menekan,” ujar seorang penduduk, Suhaimi Mispar.
Projek ini melibatkan sebanyak 328 unit kediaman merangkumi 64 lot rumah teres dan 264 unit pangsapuri merentasi lapan blok Flat PKNS Kampung Sungai Baru, dengan keluasan pembangunan 7.95 ekar (3.2 hektar) di atas tanah pajakan 99 tahun.
Pembangunan asal kawasan ini telah dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada tahun 1970-an.

“Kami telah tinggal di sini berpuluh tahun dan kebanyakan unit kediaman sama ada flat mahupun rumah teres kini telah uzur, tidak selamat dan sukar dibaik pulih. Ada yang bocor, struktur retak dan kemudahan yang rosak, malah kawasan persekitaran kini kian terpinggir.
“Kebanyakan unit terpaksa disewakan kepada warga asing kerana tiada pembeli yang berminat, sementara pemilik asal ramai sudah berpindah ke kawasan perumahan yang lebih terancang,” cerita Hazlina Mohd. Nor.
“Kami sedar semakin lama kami menunggu, semakin rendah nilai hartanah kami. Jika kami mahu jual sekalipun, nilainya semakin rendah kerana baki pajakan yang makin berkurangan, hasilnya tidak mampu menampung pembelian rumah baharu di pasaran sekarang.
“Ini bukan lagi soal pelaburan, tetapi soal kelangsungan hidup,” tambah seorang lagi penduduk, Roslan Hakim.
Sejak tahun 2016, projek ini telah melalui pelbagai peringkat libat urus termasuk taklimat, rundingan, dialog awam dan sesi perbincangan pemaju bersama penduduk, dengan pemantauan rapat daripada pihak berkuasa.
Semua kebimbangan telah diberi perhatian, manakala pemaju turut menyediakan beberapa penyelesaian seperti pilihan penempatan sementara yang sesuai serta bayaran gantian hasil sewaan berdasarkan perjanjian usahasama yang dipersetujui secara sah.
“Sebahagian besar daripada kami sudah berpindah ke penempatan sementara atau menerima bayaran gantian sewaan. Pembangunan semula ini adalah satu-satunya peluang untuk kami kembali ke tanah asal dalam kediaman yang lebih moden, selesa dan selamat.
“Kami mahu anak-anak kami kekal dalam komuniti asal dan mewarisi harta pusaka yang lebih bernilai,” jelas Bakri Abdul Moin.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus menegaskan bahawa pembangunan semula ini bukan sekadar melibatkan aspek perubahan fizikal, malah menyentuh soal hak dan masa depan penduduk asal.

“Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Madani dan pihak pemaju, KL City Gateway Sdn. Bhd. kerana terus menyokong dan memantau projek ini agar berjalan mengikut jadual.
“Kami berharap elemen identiti kampung asal dapat dikekalkan dalam pembangunan baharu supaya sejarah Kampung Sungai Baru terus diingati oleh generasi mendatang,” katanya.
Bagi penduduk asal, pembangunan semula Kampung Sungai Baru adalah simbol harapan demi kehidupan yang lebih bermaruah, moden dan sejahtera. Mereka mengharapkan agar suara komuniti sentiasa dihormati dan didukung demi menjamin masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.