Pemandu Pajero tular dikejar polis rupanya bawa air ketum, pil kuda

3 weeks ago 13

KOTA BHARU – Pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero yang tular apabila dilihat berpusing-pusing di kawasan sama ketika dikejar unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) polis di Jalan Kebun Sultan di sini semalam ditahan memiliki air ketum dan pil kuda.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff berkata, MPV polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat pada awalnya mengejar SUV tersebut dan sebuah kereta jenis Proton Preve dari Tumpat ke Kota Bharu kira-kira pukul 6.15 petang.

Menurutnya, MPV IPD Kota Bharu kemudian membantu mengejar dua buah kenderaan tersebut sebelum ditahan kira-kira pukul 6.54 petang.

“Pemandu SUV Mitsubishi Pajero yang berusia dalam lingkungan 20-an berjaya diberkas manakala pemandu kereta Proton Preve telah melarikan diri.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu menjumpai sebotol plastik mengandungi air rebusan ketum dan satu tiub straw berisi dadah jenis pil kuda,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Wan Ruzailan memberitahu, suspek mempunyai tiga rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah.

Menurutnya, pemeriksaan pada nombor casis kereta Proton Preve turut mendapati nombornya adalah palsu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, sebuah SUV tular di bandar ini apabila dikejar oleh beberapa URB dan MPV polis di secara berpusing-pusing sebanyak 10 kali di kawasan yang sama di Jalan Kebun Sultan di sini semalam.

Menerusi video itu, kelihatan anggota URB dan MPV mengejar SUV jenis Mitsubishi Pajero di kawasan tersebut sehingga mendapat perhatian ramai orang awam.

Bagaimanapun, anggota polis di dalam video itu dilihat tidak dapat menahan SUV berkenaan apabila pemandu kenderaan tersebut bertindak memandu secara melulu dan membahayakan orang ramai. – KOSMO! ONLINE

habis

Read Entire Article
Pertanian | | | |