Peluang Man. United menang trofi

1 day ago 9

CHICAGO – Manchester United kini berada dalam kedudukan terbaik untuk menjuarai Siri Musim Panas Liga Perdana selepas mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Bournemouth di Soldier Field pagi tadi.

Skuad kendalian Ruben Amorim menjadi satu-satunya pasukan dengan rekod sempurna dalam kejohanan pramusim itu selepas tiga perlawanan apabila mencatat kemenangan ke atas West Ham United 2-1 sebelum ini sekali gus hanya memerlukan satu mata ketika bertemu Everton di Atlanta, Ahad ini untuk mengesahkan kejuaraan.

United bermula garang meskipun beraksi dalam cuaca buruk di ‘Windy City’ apabila menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama hasil gandingan dua pemain Denmark, Patrick Dorgu dan Rasmus Hojlund.

Hojlund terlebih dahulu menanduk masuk hantaran silang Dorgu seawal minit kelapan, sebelum Dorgu menggandakan kelebihan The Red Devils apabila menewaskan Djordje Petrovic hasil sepakan percuma pantas yang diambil Mason Mount.

Gol itu merupakan jaringan pertama Dorgu sejak menyertai United dan aksi bertenaga pemain bek kiri itu menjadi elemen penting dalam serangan pasukan.

Peluang terbaik Bournemouth untuk bangkit hadir seketika sebelum rehat, namun gol Antoine Semenyo dibatalkan kerana ofsaid manakala Tom Heaton bertindak cemerlang menafikan percubaan Dango Ouattara.

United terus mempamerkan dominasi dengan gol ketiga hadir menerusi Amad Diallo yang menyudahkan peluang selepas Marcos Senesi gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya akibat tekanan daripada Hojlund.

Pengendali Bournemouth, Andoni Iraola kemudian membuat lima pertukaran serentak dan hampir meraih hasil segera apabila percubaan David Brooks terkena palang sebelum Heaton menafikan satu lagi cubaan Semenyo hasil sepakan sudut.

Namun, United terus garang apabila Matthijs de Ligt hampir menambah jaringan melalui tandukan yang ditepis keluar penjaga gol gantian Will Dennis, sebelum pemain muda Ethan Williams menjaringkan gol keempat hanya beberapa saat selepas mengosongkan skuad pada minit ke-70.

Gawang United hanya bolos hasil jaringan sendiri De Ligt pada lewat permainan selepas percubaan Brooks menerjah gawang.

Prestasi memberangsangkan United dalam kempen pramusim ini sudah pasti memberikan suntikan keyakinan kepada Amorim menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) Ogos ini, apabila mereka berjaya menundukkan pasukan yang menamatkan saingan liga musim lalu di pertengahan carta. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |