Pasangan imigresen disyaki guna wang rasuah buka kedai emas

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menggunakan wang sogokan untuk membuka sebuah kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.

Difahamkan, pasangan berusia lingkungan 40-an itu dipercayai mengatur kemasukan warga asing tanpa dokumen lengkap ke negara ini sejak 2020.

Mereka bertindak menggunakan nama adik wanita terbabit serta anaknya sendiri sebagai proksi bagi mengaburi kegiatan berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, dalam Op Dygo kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari bermula 10 hingga 14 September lalu selepas Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, membenarkan permohonan SPRM.

Menurut beliau, pasangan itu dipercayai terlibat dalam program pemutihan bagi membolehkan majikan mendapatkan permit kerja sah untuk pekerja asing tanpa dokumen.

“Proses tersebut memerlukan majikan menghantar fail-fail pekerja warga asing berkenaan untuk dibuat semakan pertama oleh bahagian penguat kuasa.

“Setelah melepasi peringkat pertama tapisan, majikan yang mempunyai fail berkenaan kepada suspek untuk menentukan kelengkapan dokumen membuka sebelum memperoleh Akaun Penerimaan (AP),” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi mempercepatkan proses berkenaan daripada tujuh hari kepada tiga hari sahaja, majikan dipercayai perlu membayar RM700 bagi setiap seorang warga asing.

“Bayaran rasuah tersebut diterima secara tunai serta diagihkan kepada pegawai lain yang menguruskan fail dan suspek menerima RM150 bagi setiap warga.

“Dalam tempoh empat tahun bermula 2020, suspek dipercayai telah mengumpul kira-kira RM900,000 yang digunakan untuk membuka kedai emas dan selebihnya membeli sebuah kereta mewah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semasa serbuan dibuat di kedai barangan kemas di Pahang pihaknya mengesan simpanan emas dianggarkan seberat tiga kilogram dengan nilai harga semasa kira-kira RM1.4 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |