Norzizi, Juhara, Che Kem ‘menyala’ dalam Anugerah Seni Boh

11 hours ago 5

KISAH berlatarkan Minangkabau bersama suntikan elemen Shakespeare, Randai MacBeth mengungguli Anugerah Seni BOH Cameronian (BCAA) ke-20 apabila membolot lapan trofi.

Pementasan yang menggabungkan drama, muzik, penceritaan dan tarian itu memenangi kategori Pengarah Terbaik menerusi Norzizi Zulkifli serta Ensemble/Kumpulan Terbaik, Rekaan Kostum & Rekaan Bunyi Terbaik selain Aktor Terbaik (Che Kem) dan Aktres Pembantu Terbaik (Juhara Ayob).

Teater Sakti Merong Mahawangsa pula mendominasi kategori Teater Muzikal, dengan empat anugerah iaitu Reka Bentuk Kostum, Gaya & Solekan Terbaik, Reka Bentuk Pencahayaan Terbaik, Buku Asal Terbaik dan Koreografer Terbaik.

Dalam kategori Tarian, kemenangan Geetha Shankaran-Lam sebagai Pelakon Terbaik menerusi Samskara Past Refkections pada usia 56 tahun juga merupakan pencapaian yang luar biasa.

Teater Persiapan Seorang Aktor merupakan antara pemenang Anugerah Seni BOH Cameronian (BCAA) ke-20.

Kemenangannya bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan artistik dan disiplin fizikal yang berkekalan tetapi juga menekankan legasinya.
Kategori Muzik menyaksikan Dr. Bernard Tan dianugerahkan Arahan Muzik Terbaik, manakala Dr. Poom Prommachart membawa pulang Persembahan Solo Terbaik dalam kategori instrumental

Pada acara kemuncak ini, tiga anugerah berprestij Terbaik 2024 disampaikan kepada pasukan Randai MacBeth, Spice, Magic and Mystique serta Teater Persiapan Seorang Aktor.

Tahun ini, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dianugerahkan kepada Professor Dr. Tan Sooi Beng atas usahanya mempromosikan teater komuniti untuk golongan muda dan menghidupkan semula teater boneka sarung Potehi di Pulau Pinang.

Trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat disampaikan kepada Sooi Beng oleh Pengerusi Eksekutif BOH Plantation Sdn Bhd, Caroline Russel.
Bertemakan ‘20 tahun Legasi: Menyalakan Inspirasi untuk Masa Depan’, BCAA mengadili 39 anugerah meliputi teater, tarian, muzik dan teater muzikal.

Setiap pemenang sub kategori menerima trofi dan hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, manakala setiap pemenang Terbaik 2024 menerima trofi dan wang tunai RM5,000.

Menurut Pengerusi Eksekutif BOH Plantation, Caroline Russell, anugerah ini adalah untuk meraikan sebuah legasi yang dibina dengan penuh semangat dan menyalakan masa depan dengan semangat jitu.

Aktivis teater, Tan Sooi Beng diberi penghargaan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Anugerah Seni BOH Cameronian (BCAA) ke-20, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen berkata, sepanjang dua dekad ramai bakat baharu berkembang menjadi ikon produksi sehingga mencetuskan perbualan penonton untuk menghargai dan berbangga dengan potensi mereka.

“BCAA menjadi platform mengangkat, menemui dan menghubungkan.

“Dengan setiap nama yang diumumkan, kita bukan sahaja menghargai kecemerlangan, tetapi juga menghargai apa itu dunia seni Malaysia hari ini, serta potensi yang boleh dicapai,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |