Nenek menangis lihat abang belon dikasari

2 days ago 6

JERANTUT – Nenek ‘abang belon’ berasa sangat kecewa apabila melihat cucunya, Mohd Zaimuddin Azlan, 30-an dikasari penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) semalam.

Som Ali, 78, berkata, dia begitu sedih dan menangis setelah melihat kejadian itu yang tular di laman sosial Facebook dan Tik Tok dihantar oleh anaknya, Nor Asmah Mat Isa, 47, semalam.

“Dia (Mohd Zaimuddin) cucu saya, masih bujang yang tinggal di Sungai Besi sejak ibunya, Hasnah Mat Isa berpindah ke sana lebih 30 tahun lalu.

“Saya terkejut dan amat sedih apabila melihat dia diperlakukan sedemikian rupa sedangkan dia hendak mencari rezeki yang halal,” katanya di Perumahan Awam Kos Rendah Kuala Tembeling di sini hari ini.

Menurut Som, walaupun Mohd Zaimuddin dan keluarganya telah lama menetap di sana, tetapi hubungan mereka tetap rapat dan sentiasa bertanyakan khabar serta cucunya pulang setiap kali hari raya.

“Dia sudah berjanji dengan saya dan emak saudaranya (Nor Asmah) akan pulang ke Kuala Tembeling untuk menjalani ibadah puasa yang masih berbaki dan terus menyambut Hari Raya Aidilfitri di sini,” katanya.

Som berkata, dia tidak dapat mengulas panjang kerana tidak melihat kejadian di depan mata, tetapi sekiranya benar cucunyamengalami kecederaan parah, dia amat kecewa dan berharap mendapat keadilan sewajarnya.

Som berkata, cucunya itu menderita penyakit ‘angin pasang’ sejak dari kecil lagi dan difahamkan menerusi ibunya, rawatan juga akan dilakukan bersama kecederaan parah yang dialami.

Dalam pada itu, emak saudara mangsa, Nor Asmah Mat Isa,49, berkata, dia juga mendapat tahu kejadian itu menerusi laman sosial Facebook dan Tik Tok yang tular dengan pelbagai komen rasa tidak puas hati dan kecewa dalam kalangan orang ramai. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |