‘Mak jerit suruh lari, api cepat sambar bunyi macam bom’

1 day ago 9

SUBANG JAYA – “Saya lari sehelai sepinggang, api itu terlalu pantas, bahangnya Tuhan sahaja yang tahu.”

Itu luahan Yusri Nasir, 40, salah seorang mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights yang masih trauma dengan kejadian ngeri yang menimpa keluarganya di Kampung Kuala Sungai Baru.

Menurut Yusri, kejadian berlaku ketika dia sedang tidur di dalam biliknya, manakala ibu bapanya yang berusia lewat 60-an sedang bersarapan.

“Tiba-tiba mak jerit suruh lari, saya hanya sempat capai kain pelikat. Api menyambar begitu laju seperti letupan bom. Saya, mak, ayah, adik-beradik semua lari tanpa sempat selamatkan apa-apa.

“Bila keluar, saya tengok rumah sudah mula disambar api, bahangnya terlalu panas,”katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pusat pemindahan sementara Masjid Putra Height

Berikutan kejadian itu, dia memaklumkan mengalami cedera di kaki, belakang badan dan tangan kerana terkena sisa api serta haba yang sangat kuat.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahha, 70, berkata gegaran letupan itu seakan gempa bumi sehingga meruntuhkan sebahagian siling rumahnya.

“Letupan sangat kuat, atap rumah jatuh, bangunan bergegar. Saya baru bangun tidur, tiba-tiba dengar bunyi dentuman yang mengejutkan.

“Saya nampak api menjulang setinggi 20 tingkat, lari pun tetap kena bahang. Kedua-dua tangan dan kaki saya cedera akibat terkena percikan api,” ujarnya.

Bagi Muhammad Azmi Abd Wahad, 48, dia tidak menyangka kepulangannya dari tempat kerja menjadi detik paling menakutkan dalam hidupnya.

“Masa kejadian, saya baru balik kerja. Bila sampai dekat kawasan rumah, saya nampak api besar menyala-nyala, ingatkan ada lori tangki terbakar.

“Saya nampak tanah dan pasir berjatuhan dari atas. Saya cuba lari, tetapi bahang panas terlalu kuat sampai tak boleh masuk rumah. Saya terus berlari menyelamatkan diri,” katanya.

Muhammad Azmi berkata, rumahnya yang terletak kurang 100 meter dari lokasi kejadian musnah sepenuhnya.

“Saya hanya sempat selamatkan diri, kereta, motosikal, dan semua barang dalam rumah habis musnah. Saya kini sehelai sepinggan,” katanya sebak.

Lebih memilukan, Muhammad Azmi berkata semua mangsa kehilangan harta benda dan persiapan Aidilfitri yang sudah dibeli.

“Barang raya semua musnah, rumah tinggal abu. Kami hanya ada apa yang ada di badan sekarang,” luahnya yang masih tidak dapat melupakan detik hitam itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |