PETALING JAYA – Pihak pembelaan menghujahkan tiada elemen niat bersama pengabaian yang dilakukan ibu dan bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin seperti mana yang dipertuduhkan ke atas mereka.
Malah, keterangan menunjukkan orang kena tuduh (OKT) kedua iaitu Ismanira Abdul Manaf
sentiasa peka terhadap anak autistiknya iaitu menggunakan deria pendengaran sebagai bentuk pengawasan yang sesuai dengan keperluan kanak-kanak tersebut.
Dalam penghujahan bertulis itu yang diperolehi pihak media yang difailkan oleh Tetuan Haresh Mahadevan & Co. pada 23 Mei lalu, pihak pembelaan turut menghujahkan Ismanira menangis ketika mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, adalah konsisten dengan kelakuan seseorang yang tidak bersalah.
“Hasil keterangan saksi pendakwaan keempat (SP4), yang mengesahkan Ismanira menangis ketika mayat ditemukan pada 6 Disember 2023. Dalam keterangannya saksi itu menyatakan, Ismanira sebelum itu berusaha mencari kanak-kanak autisme tersebut di beberapa lokasi namun mangsa tidak berjaya ditemukan. Laporan polis dibuat oleh Ismanira sehari sebelum itu,” kata hujahan bertulis tersebut.
Keterangan tersebut turut disokong oleh keterangan SP16, yang melihat Ismanira aktif mencari Zayn Rayyan dari dua arah berlainan dalam keadaan berpeluh-peluh.
“Kami percaya pihak pembelaan telah menimbulkan banyak keraguan dalam kes pendakwaan. Justeru pihak pembelaan dengan rendah diri memohon kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri,” kata hujahan bertulis setebal 127 muka surat itu.
Hujahan bertulis itu adalah alasan mengapa Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari patut dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut tanpa dipanggil membela diri.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 21 Julai ini bagi keputusan ibu dan bapa Allahyarham Zayn Rayyan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Keputusan sama ada Zaim Ikhwan dan Ismanira dilepas atau dipanggil membela diri diakhir kes pendakwaan akan ditentukan Hakim Dr. Syahliza Warnoh yang telah selesai mendengar keterangan 28 saksi sepanjang 20 hari prosiding berlangsung. – KOSMO! ONLINE!