JEDDAH – Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan larangan agar para jemaah haji tidak keluar ketika Masyair di Arafah selain tidak dibenarkan berjalan kaki dari Mekah tahun ini bagi keselamatan mereka selain risiko strok haba.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, peraturan itu dinyatakan dalam satu pertemuan antara menteri-menteri yang terlibat dalam urusan haji dan umrah dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah hari ini.
“Jemaah haji tidak dibenarkan untuk keluar khususnya ketika Masyair di Arafah dari pukul 10 pagi hingga pukul 4 petang. Jemaah-jemaah haji juga dilarang untuk pergi ke Masjid Namirah dan Jabal Rahmah (di Arafah) seperti mana kebanyakan jemaah haji kita.
“Ini bagi menjamin keselamatan jemaah haji agar tidak terlalu terdedah dengan kepanasan (cuaca panas melampau),” katanya ketika ditemui pada Simposium Haji Perdana, di sini hari ini.
Mohd. Na’im berkata, selain daripada itu, pada tahun ini juga para jemaah haji tidak dibenarkan berjalan kaki dari Mekah ke Arafah seperti yang diamalkan sebilangan jemaah asing pada tahun-tahun sebelum ini.
“Jemaah haji tidak dibenarkan untuk berjalan kaki. Kerajaan Arab Saudi akan mempertingkatkan sistem pengangkutan. Jadi semua jemaah-jemaah haji diminta untuk menaiki kenderaan yang disediakan.
“Mungkin jemaah haji kata dia ada kemampuan untuk berjalan jauh dengan suhu tinggi, sebab pada tahun lalu ramai yang (meninggal dunia) terkena strok haba akibat berjalan begitu jauh dan disebabkan terlalu lama terdedah dengan kepanasan,” katanya.
Selain itu, ujarnya, pihak Arab Saudi menasihati para jemaah haji membawa Kad Nusuk setiap masa bagi mengelakkan mereka tidak dibenarkan untuk masuk ke Masjidil Haram, Arafah, Muzdalifah dan Minah serta ke Mekah.
“Sebab itu yang ditekankan Kerajaan Arab Saudi, tiada visa tiada haji. Sehubungan itu, mereka dinasihatkan membawa Kad Nusuk ini.
“Malah, pihak berkuasa Arab Saudi akan mengambil tindakan seperti telah kita lihat iaitu masuk (menyerbu) ke hotel bagi mengesan jemaah tanpa visa haji yang sah,” katanya.
Tambahnya, beliau mengesahkan bahawa tiada laporan diterima pihaknya berhubung rakyat Malaysia yang menunaikan haji tanpa visa sah setakat ini. – KOSMO! ONLINE