SHAH ALAM – Penyanyi merangkap ‘manager’ Siti Saerah menafikan dakwaan kononnya dia mengerah tenaga anaknya, Amad untuk bekerja sehingga jatuh sakit dan pengsan sebelum membuat persembahan pada konsert minggu keempat program Talk To My Manager (TTMM), malam tadi.
Menurut Saerah stau nama lengkapnya Siti Nursairah Tarudin, 42, Amad sememangnya banyak menerima undangan nyanyian dan semua undangan persembahan diterima hadir sebelum dia dan anaknya menyertai program TTMM.
“Sehari sebelum konsert TTMM, Amad ada persembahan lain bersama Suria FM. Kerja-kerja itu semua sudah ditetapkan lebih awal. Saya nak tolak pun tak boleh.
“Tiba-tiba hari konsert dia sakit dan pengsan satu jam sebelum konsert bermula.
“Sebagai ibu memang saya panik. Jantung saya bagai nak gugur. Tetapi saya tak paksa Amad untuk teruskan. Saya tanya dia sama ada dia nak teruskan ataupun tidak. Alhamdulillah dia kuat semangat dan nak teruskan,” katanya kepada Kosmo.
Tambah adik kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu lagi, dia selalu berpesan kepada anaknya supaya berehat, namun Amad tetap ingin bekerja.
“Orang di luar sana tak nampak apa sebenarnya yang terjadi. Kadang-kadang kita sudah suruh Amad berehat tetapi dia yang tak mahu. Sebagai mak, nak marah pun rasa serba salah bila anak nak ikut pergi kerja.
“Saya harap sekarang dia faham akibat daripada kerja terlalu kuat badan boleh jatuh sakit. Saya harap semua doakan kesihatan Amad,” jelasnya.
Biarpun sedang sedang bertarung dengan masalah kesihatan, Amad berjaya mendapat kedudukan tertinggi pada konsert minggu keempat menyampaikan lagu Cindai secara duet bersama kakaknya, Umairah.
“Alhamdulillah ini merupakan satu pencapaian untuk Amad. Memang dia nak sangat dapat nombor satu. Saya harap pencapaian ini menjadi kekuatan untuk dia menghadapi minggu-minggu seterusnya,” katanya. KOSMO! ONLINE