PETALING JAYA – Dunia mesti bertindak dengan langkah nyata dan berani termasuk menamatkan hubungan diplomatik serta perdagangan dengan rejim Zionis Israel sehingga kekejaman dihentikan sekali gus hak Palestin dipulihkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kecaman semata-mata tidak lagi memadai, malah kenyataan sahaja tidak akan menghentikan bedilan roket dan peluru berpandu.
“Malaysia berdiri teguh bersama Qatar, Palestin dan setiap bangsa yang dambakan keadilan serta keamanan. Inilah saatnya untuk kita bukan sahaja bersuara, tetapi bertindak.
“Semoga Allah SWT mengurniakan keberanian untuk kita melawan kezaliman, serta kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dan maruah umat,” katanya pada hantaran Facebook.
Anwar berkata, dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar, beliau dapat membawa suara daripada Malaysia.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha.
“Ia bukan sahaja satu pencabulan kedaulatan Qatar, malah satu tindakan rakus dan biadab melanggar tatanan undang-undang antarabangsa serta provokasi berbahaya mengancam kestabilan dan keselamatan rantau,” katanya.
Beliau berkata, Qatar di bawah kepimpinan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani telah memainkan peranan besar sebagai perantara perdamaian.
“Menyerang Doha bererti merobek usaha mulia tersebut, dan ia mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua, seluruh dunia Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa yang mendambakan keamanan,” katanya.
Beliau berkata, dalam masa sama Gaza terus ditenggelami darah dan runtuhan.
“Kediaman dimusnahkan, hospital dibedil, anak-anak tidak berdosa menjadi mangsa korban.
“Israel kini tidak lagi menyembunyikan niatnya, menolak kewujudan negara Palestin, mengisytiharkan satu bentuk apartheid kekal serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE