KUALA LUMPUR – Mengimbau nostalgia 8,000 penonton yang memenuhi Axiata Arena Bukit Jalil, Konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite malam tadi turut mendedikasikan segmen istimewa buat tiga penghibur ikonik negara.
Komposer juga penyanyi popular Indonesia, Melly Goeslaw membawakan lagu Janji Manismu daripada Datuk Aishah, Betapa Ku Cinta Padamu (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Isabella (Search) yang disambut sorakan gemuruh khalayak.
“Ini adalah tribute (penghargaan) untuk rakan seperjuangan saya di Malaysia,” ucapnya ringkas sebelum mengalunkan deretan seleksi hits itu secara berturutan.
Siti dan vokalis kumpulan Search, Datuk Amy yang turut menjadi saksi konsert tersebut sama-sama terhibur dengan turut menyanyi dan berdansa mengikut rentak.
Sebelum itu Melly yang muncul di gelanggang gah terbabit tepat pukul 9 malam memilih lagu rancak juga daripada album runut bunyi filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) sebagai pemanas.
Momentum persembahan diteruskan dengan Pencinta Wanita yang dicipta khas buat penyanyi dan pelakon Irwansyah, sekali gus meningkatkan lagi graf kemunculannya dalam siri ketiga konsert terbabit.
Beliau sebelum ini mencetuskan fenomena menerusi penganjuran konsert di Malaysia dua tahun berturut-turut iaitu Ada Apa Dengan Melly (Back To School) serta Ada Apa Dengan Melly Friends (Malam Graduasi) pada Februari 2023 dan Jun 2024.
Bertemakan Prom Nite, bukan hanya Melly menggayakan busana mengikut konsep, peminat wanita juga ‘sporting’ mengenakan gaun berkilau, manakala lelaki lengkap dengan tuxedo.
Antara lebih 20 dendangan diperdengarkan termasuk yang dicipta untuk penyanyi lain seperti Hanya Memuji dan Tentang Seseorang selain Suara Hati Seorang Kekasih, Sampai Ku Menutup Mata, Jika, Gantung, Cinta Sejati, Lets Dance Together, Tak Tahan Lagi, Bimbang, Denting dan Dimana Malumu,
Bermodalkan katalog lagu malar segar ditambah nuansa disko menggandakan keterujaan penonton, apatah lagi dengan kemunculan aktor filem AADC, Nicholas Saputra menyampaikan sebuah puisi seperti dijanjikan penganjur, Icon Entertainment.
Selain ‘Rangga’, Melly turut mengundang penyanyi remaja Indonesia, Dhinda Ghania selain Aina Abdul yang membawakan lagu Cinta serta berduet dengannya menyampaikan Hey Ladies.
Turut hadir memberikan sokongan terhadap konsert penuh warna yang berlangsung lebih dua jam itu adalah Datuk M Nasir selain rakan seperjuangan dari seberang juga hos tersohor, Raffi Ahmad. – KOSMO! ONLINE