‘Kemenangan TPJ hadiah manis sempena Hari Keputeraan saya’

1 day ago 10

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan Johor Motorsport Racing (JMR) atas kejayaan cemerlang dalam siri perlumbaan GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi, Baginda menyifatkan kemenangan JMR dalam perlumbaan kedua hari ini dan tempat kedua semalam (31 Mei) sebagai hadiah bermakna sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

“Kemenangan JMR meraih tempat pertama pada perlumbaan hari ini dan tempat kedua semalam (31 Mei) adalah hadiah yang manis kepada saya bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong,” titah Baginda.

Seri Paduka Baginda turut merakamkan ucapan tahniah khusus kepada anakanda Baginda, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj serta rakan sepasukannya, Ben Green atas prestasi membanggakan.

“Bagi seorang lagi anak saya (YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor) jangan sedih atau berputus asa, teruskan perjuangan di pentas perlumbaan akan datang,” titah Baginda.

Dalam perlumbaan bekenaan menyaksikan Tunku Abdul Rahman menerajui kategori Pro-Amdengan dengan 75 mata.

Baginda memiliki kelebihan sembilan mata berbanding pencabar terdekat dari Phantom Global Racing, Anthony Liu dan Dorian Boccolacci.

Gandingan Ruan Cunfan dan Maxime Oosten dari Team KRC pula melengkapkan kelompok tiga teratas dengan 69 mata.

Meskipun berkongsi mata sama dengan Liu dan Boccolacci, duo tersebut memiliki rekod lebih baik berbanding Team KRC.

Ini kemenangan kedua JMR selepas berjaya melakukannya di Litar Antarabangsa Sepang pada April lalu.

Selepas ini, saingan GT World Challenge Asia akan diteruskan di Fuji International Speedway, Jepun dari 11 hingga 13 Julai ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |