Menang gelaran sulung di laman sendiri

1 day ago 11

PETALING JAYA – Atlet boling kebangsaan, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin merangkul gelaran pertama di laman sendiri selepas menjuarai Divisyen Terbuka Masters pada Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur 2025.

Pada aksi final di Petaling Jaya hari ini, atlet berusia 21 tahun itu melakukan 1,993 jatuhan pin bagi menewaskan beberapa jaguh negara yang lain, termasuk Muhammad Rafiq Ismail, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd. Fishol.

Meskipun memulakan saingan dengan aksi cukup cemerlang, namun atlet kelahiran Negeri Sembilan itu mengakui, dia tetap berdepan aksi sukar, sekali gus menjadikan kemenangan tersebut lebih bermakna.

“Saya rasa sangat gembira kerana hasil kerja keras yang dilakukan membuahkan hasil. Hari ini (semalam) saya hanya bermain seperti biasa dan tidak banyak tukar permainan, hanya kekalkan konsistensi.

“Ini adalah kejohanan (antarabangsa) ketiga saya selepas Pesta Boling Antarabangsa Pulau Pinang 2023 dan Terbuka Singapura tahun lalu,” katanya ketika ditemui media selepas tamat saingan.

Izz turut menjelaskan, dia cukup berpuas hati dapat menewaskan Rafiq buat kali kedua selain bermain tanpa sebarang tekanan meskipun tidak banyak persiapan menjelang kejohanan tersebut.

“Memang rasa syok juga dapat kalahkan Rafiq kerana dia merupakan idola saya dalam boling. Jadi, sudah tentu gembira kerana dapat berada di kedudukan atas dia,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Syazwani Sahar muncul sebagai atlet wanita terbaik apabila menamatkan kategori campuran di kedudukan ke-10 keseluruhan selepas dia berjaya melakukan 1,776 jatuhan pin.

Sebagai juara keseluruhan, Izz membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 manakala Syazwani meraih RM7,000 selaku atlet wanita terbaik serta RM850 selepas menamatkan saingan di tempat ke-10. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |