Nak sambut hari jadi bersama tak kesampaian

1 day ago 7

KLUANG – Hasrat pasangan suami isteri yang secara kebetulan dilahirkan pada 6 dan 7 April untuk menyambut hari ulang tahun kelahiran dan perkahwinan mereka pada hari ini berkecai apabila kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 25, Jalan Renggam menghala ke Layang-Layang, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa yang juga pemandu Honda City, Muhammad Amiruddin Kamalruzaman, 29, meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah di kepala dan muka manakala isterinya, Nor Syahirah Abu Zaki, 30 cedera di kaki dan kini masih mendapatkan rawatan di hospital.

Nor Syahirah berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama suami dan anak lelaki tunggal berusia setahun dalam perjalanan ke Kluang selepas beraya di Pontian bersama konvoi enam buah kenderaan lain.

Katanya, ibunya Foziah Ridzuan, 60, abangnya Ahmad Zhafir, 34 dan adiknya, Nur Hafizah, 27 turut berada di dalam kenderaan dipandu suaminya.

“Saya dan suami sudah merancang untuk bercuti di Kuala Lumpur memandangkan hari ini iaitu 1 April merupakan ulang tahun perkahwinan kami yang keempat selain untuk menyambut hari lahir saya pada 6 April dan suami pada 7 April.

“Kami mahu ke I- City Shah Alam dan Zoo Negara. Tetapi, Allah SWT lebih menyanyangi suami saya,” katanya ketika di Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang sebentar tadi.

Menurutnya lagi, dia tidak sedikit pun menyangka kata-kata suaminya untuk tidak akan berniaga lagi pada hari terakhir berniaga di bazar menjadi kenyataan.

Ujarnya, suaminya sudah tiga tahun berniaga ayam goreng di Kampung Melayu di Kluang dan pada Ramadan di tapak bazar.

“Sebelum itu, suami ada terima tawaran kerja baharu sebagai pengurus acara di Kluang dan akan mula bekerja pada minggu depan.

“Saya ingat kata-kata dia itu sekadar hendak beritahu dia dapat kerja baharu rupa-rupanya itu petanda dia hendak beritahu kepada saya, dia akan pergi buat selamanya,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |