PETALING JAYA – Sikap murah hati bintang Muay Thai Thailand, Rodtang Jitmuangnon bersedekah 100 bath kepada beberapa jemaah selepas solat sunat Aidilfitri mendapat pujian daripada orang ramai.
Menerusi video tular dikongsikan seorang pengguna TikTok dari Thailand, pechsairung menunjukkan Rodtang memberi sedekah kepada setiap orang yang duduk di luar sebanyak 100 bath.
Dalam ruangan komen, orang ramai termasuk pengguna TikTok dari Malaysia memuji sifat murah hati Rodtang selain penerima tersebut yang disifatkan beradab serta tidak berebut.
Malah, mereka membandingkan dengan insiden berebut daging yang berlaku di Indonesia baru-baru ini.
“Yang macam ni baru betul sedekah. Yang menerima tidak meminta,” komen Boneng 391.
“Macam ni lah tak ada berebut. Bagus, terbaik Rodtang. Semoga banyak kejayaan dan dimurahkan rezeki,” kata Manconvent.
“Titipan rezeki daripada tangan orang yang tepat dan tidak takut untuk bersedekah,” kata harapan18.
Sebelum ini media melaporkan, seorang pesohor media sosial di Indonesia terkejut apabila rendang yang dimasak untuk diberikan kepada orang ramai dikebas sehingga licin ketika daging masih mentah.
Willie Salim dalam satu kandungan video yang dihasilkan berhasrat memasak 200 kilogram daging untuk diedarkan kepada penduduk sebuah kampung di Palembang, wilayah Sumatera Selatan.
Selepas memasukkan daging ke dalam kuali besar, Willie yang merupakan penganut Kristian pergi ke arah keretanya seketika untuk meminum air.
Bagaimanapun, sekembalinya dia ke kuali tersebut, Willie terkejut apabila mendapati rendang tersebut sudah habis diambil oleh penduduk meskipun baru lima minit ia dimasak. – KOSMO! ONLINE
@pechsairung Alhamdulillah 🕌#เพชรสายรุ้ง💎🌈 #คามินบินไปเมกา #ป๊าหนึ่งชาลี #รถถังจิตรเมืองนนท์ ♬ Assalamualaikum Cinta – IKHLAS Band