RAYYAN (bukan nama sebenar) tidak pernah menyangka bahawa pekerjaan sambilan sebagai penjaga panggung wayang akan mengubah pandangannya tentang alam ghaib.
Baginya, tugas seperti membersihkan panggung wayang selepas tayangan, mengawal penonton, menjual makanan dan menutup premis selepas waktu operasi sebagai tugas mudah.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka kejadian seram yang berlaku pada suatu malam di salah satu dewan panggung wayang telah menghantuinya sehingga ke hari ini.
“Tiga tahun lepas, saya buat kerja sambilan di sebuah panggung wayang di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.
“Sebelum bekerja di situ, memang saya ada juga dengar cerita-cerita seram yang ada di panggung itu.
“Awalnya, saya memang tak ambil pusing sangat sebab saya fikir orang sengaja mereka-reka cerita.
“Namun apabila difikirkan semula, mungkin ada betulnya sebab tapak pusat beli-belah itu dahulu merupakan sebuah hospital.
“Kejadian itu berlaku pada hari pertama saya bertugas pada syif malam. Tayangan terakhir selalunya pada pukul 11 malam dan habis sekitar 2 pagi.
“Selepas tayangan, saya mengalami kejadian seram yang pertama iaitu melihat susuk wanita berdiri di depan layar,” ceritanya kepada CitaRasa.
Biarpun kejadian itu sudah lama berlaku, namun riak wajah Rayyan kelihatan pucat saat menceritakan semula tentang kejadian seram tersebut.
“Selepas waktu tayangan tengah malam selesai, saya buat kerja seperti biasa iaitu menyapu dan mengutip sisa makanan.
“Ketika saya sedang mengemas tempat duduk paling belakang, tiba-tiba saya terdengar suara perempuan ketawa perlahan-lahan, sebelum menangis.
“Tiba-tiba, lampu dewan berkelip-kelip dan saya fikir ada masalah elektrik, jadi saya panggil rakan sekerja iaitu Helmi yang berada di bawah.
“Namun, saya lihat Helmi berdiri kaku sambil menunjukkan jari telunjuk kirinya ke arah saya dalam keadaan menggigil. Waktu itu, saya rasa ada angin yang sedang bertiup di tengkuk. Saya tidak berani menoleh ke belakang dan terus berjalan ke arah Helmi yang ada dekat dengan layar.
“Tiba-tiba ada kelibat wanita berjubah putih dengan rambut panjang seakan-akan terbang dan berdiri di hadapan layar tayangan,” katanya.
Ketika kejadian itu, Rayyan dan Helmi berdiri kaku dan menanti saja perkara yang akan dilakukan oleh makhluk tersebut dipercayai puntianak.
Tidak lama kemudian, Rayan dan Helmi terus lari lintang-pukang apabila makhluk itu mengeluarkan bunyi tangisan perlahan-lahan, sebelum melompat ke arah mereka.
Tanpa berfikir panjang, Rayyan dan Helmi bergegas keluar dari dewan panggung, sebelum mengunci pintunya dari luar. Mereka berlari ke bilik kawalan dan cuba menghubungi rakan sekerja yang lain.
“Saya terkejut dan tidak sangka makhluk itu tiba-tiba datang ke arah kami. Meskipun berlaku dalam keadaan yang pantas, namun saya masih ingat wajah makhluk itu sedikit kehitaman dengan mata kemerahan.
“Waktu itu kami tidak sempat menyelesaikan tugas dan berharap dapat terus pulang ke rumah.
“Namun, pengurus panggung wayang minta kami untuk mengemas semula perkakas yang ditinggalkan di dewan tersebut bersamanya.
“Syukur waktu itu tiada kejadian aneh yang berlaku, tetapi saya dapat melihat mulut pengurus juga terkumat-kamit seperti berdoa sepanjang berada di dalam dewan panggung itu,” ujarnya.
Beberapa hari selepas kejadian itu, Rayyan dan Helmi gembira apabila mereka ditugaskan syif siang dan tidak dipertanggungjawab untuk mengemas di dewan panggung lagi.
“Memang seronok sebab perlu jaga di bahagian lain, tetapi kami ingin tahu juga apa yang berlaku pada malam itu.
“Jadi, kami bertanya kepada pengurus tentang kemunculan makhluk itu. Ceritanya, beberapa tahun dahulu, pernah berlaku kes kematian seorang wanita di dewan panggung itu akibat serangan jantung ketika menonton filem seram.
“Wanita itu dikatakan duduk di kerusi paling belakang iaitu tempat saya sedang bersihkan pada hari kejadian.
“Sejak itu, ada beberapa staf pernah mengadu diganggu oleh susuk puntianak dan mereka sering terdengar suara tangisan wanita jika berada berhampiran kerusi tersebut,” katanya.
Selepas apa yang berlaku, Rayyan tidak lagi mendekati kerusi tersebut.
Sebaliknya, dia sering meminta pertolongan staf syif pagi untuk membersihkan kawasan kerusi itu sekiranya bekerja sebelah malam.