5 makanan paling mahal di dunia

1 day ago 7

BAGI yang berkemampuan, mereka tidak akan ragu-ragu untuk ‘melabur’ wang bagi menikmati hidangan istimewa yang melalui pelbagai proses rumit sehingga menjadikan harganya cukup mahal.

Disebabkan itu, ramai orang berlumba-lumba untuk menikmati sajian tersebut kerana rasanya sangat unik. Bak kata orang, tidak salah mencuba makanan mahal sekali seumur hidup.

Oleh kerana permintaan tinggi itu, ada sesetengah sumber makanan tersebut diancam kepupusan dan dilarang untuk diimport. Pada minggu ini, CitaRasa kongsikan lima makanan yang paling mahal di dunia seperti dilaporkan oleh Escoffier.

1- Daging Kobe

KOBE ialah sejenis daging lembu istimewa berasal daripada lembu wagyu. Untuk melayakkannya sebagai Kobe, lembu itu mesti dilahirkan, dibesarkan dan diproses di dalam Wilayah Hyogo, Jepun. Lebih khusus lagi, lembu tersebut mesti tergolong dalam baka Tajima-gyu iaitu baka tulen lembu hitam Jepun.

Lembu-lembu itu diberi makanan yang kaya dengan bijirin untuk menambahkan kandungan lemak dan memiliki tekstur lembut. Daging yang terhasil mestilah miliki marbling yang tinggi dan berkualiti untuk mendapatkan pengiktirafan Kobe. Piawaian ini sangat ketat dan hanya 3,000 hingga 4,000 ekor lembu Kobe dipasarkan setiap tahun. Kurang 1,000 daripada jumlah itu dieksport. Di Amerika Syarikat, daging lembu Kobe boleh berharga AS$25 (RM105) hingga AS$50 (RM211) per auns. Sebagai contoh di COTE Miami, satu auns daging lembu Kobe berharga AS$76 (RM321) atau boleh mencecah RM2,400 sekilogram.

2- Truffle putih

TRUFFLE putih adalah salah satu jenis truffle paling mahal di dunia. Truffle ialah spora yang boleh dimakan daripada sejenis kulat di bawah tanah. Truffle putih mempunyai rasa yang kuat dengan aroma tanah, oak dan bawang putih. Ia sering dihidangkan bersama pasta, risotto atau telur.

Juga dikenali sebagai truffle alba, truffle putih kebanyakannya ditemui di wilayah Piedmont, Itali serta di Croatia dan Slovenia. Kulat truffle memerlukan hubungan istimewa dengan akar pokok untuk membesar.

Kulat membantu pokok mengumpul air serta mineral dan pokok itu memberi makan truffle dengan gula.

Truffle juga bergantung kepada penghuni hutan untuk memakannya dan menyebarkan sporanya untuk pembiakan. Oleh itu, ia hanya tumbuh di kawasan hutan dan tidak boleh ditanam seperti tanaman lain. Satu auns truffle putih boleh mencecah harga AS$400 (RM1,696).

3- Kaviar beluga

KAVIAR ialah makanan mewah yang diperbuat daripada telur ikan sturgeon yang tidak disenyawakan.

Kaviar biasanya dihidangkan sebagai pembuka selera.
Jenis kaviar paling mahal adalah kaviar beluga yang berasal dari sturgeon beluga. Ikan besar ini selalunya mempunyai berat hampir 272 kilogram (kg) tetapi yang terbesar pernah direkodkan mempunyai berat 1,570kg.

Disebabkan populariti kaviar beluga, spesies sturgeon beluga air tawar telah ditangkap secara berlebihan dan menjadi terancam.

Amerika Syarikat yang mengimport 80 peratus daripada bekalan dunia telah diharamkan import pada 2005.
Pada 2020, sebuah perusahaan di Florida menerima pengecualian untuk menjual kaviar beluga.

Pemilik Sturgeon AquaFarms, Mark Zaslavsky telah membiakkan beberapa ikan sturgeon di AS sebelum larangan itu dikuatkuasakan. Dia kini menjual kaviar dan telah menderma telur sturgeon yang disenyawakan untuk membantu usaha repopulasi.
Satu auns kaviar beluga baka tulen yang diternak di AS berharga AS$770 (RM3,266) untuk 28 gram (sekitar satu auns).

4- Safron

SAFRON adalah rempah yang diperbuat daripada stigma kering bunga crocus safron. Sering digambarkan seperti bunga, rasanya seperti madu dan sedikit pahit. Ia ditanam terutamanya di Iran dan me­rupakan bahan biasa dalam masakan di Maghribi dan India.

Ia adalah rempah yang paling mahal di dunia kerana proses intensif buruh untuk menuai stigma. Setiap bunga crocus hanya menghasilkan tiga helai safron dan ia mesti dikeluarkan satu demi satu menggunakan penyepit.

Pada tahun lalu, safron dijual antara AS$10 (RM42) hingga AS$20 (RM85) per gram.

Jika harganya kurang daripada RM42 per gram, ia mungkin palsu seperti diperbuat daripada jagung atau bunga safflower.
Produk tiruan ini biasanya tidak berbahaya tetapi ia tiada rasa yang anda idamkan.

5- Cendawan matsutake

CENDAWAN matsutake sangat dihargai dalam masakan Jepun dan merupakan salah satu cendawan yang paling mahal di dunia. Ia mempunyai aroma yang kuat dengan rasa tanah serta tekstur padat dan berisi.

Ia dituai pada musim luruh dan boleh dimakan mentah atau dimasak dalam pelbagai hidangan seperti sup, stu dan hidangan nasi.

Cendawan besar ini berasal dari Jepun tetapi beberapa spesies boleh ditemui di China, Korea dan barat laut Pasifik di Amerika Syarikat. Seperti truffle, cendawan ini tidak boleh ditanam. Ia tumbuh di kawasan akar pokok pain merah. Matsutake segar biasanya boleh didapati sekitar September hingga November di AS. Harganya juga berbeza-beza iaitu kira-kira AS$40 (RM169) per paun di AS dan mencecah AS$1,000 (RM4,246) per paun di Jepun.

Read Entire Article
Pertanian | | | |