Elak laksana haji ikut tafsiran sendiri

1 day ago 9

MEKAH – Jemaah Malaysia diingatkan supaya memanfaatkan baki tiga hari lagi sebelum Hari Wukuf di Arafah sebagai peluang untuk mengulang kaji ilmu serta tuntutan berkaitan ibadah haji.

Menurut Ketua Pakar Rujuk Ibadah Haji merangkap Timbalan Mufti Perlis, Tajul Urus Abdul Halim, perkara tersebut penting agar ibadah haji yang dilaksanakan benar-benar sah, sempurna dan diterima Allah.

Jelas beliau, para jemaah perlu memanfaatkan waktu-waktu terakhir sebelum Wukuf untuk membuat semakan semula catatan, nota dan rujukan yang dibekalkan Tabung Haji (TH) sebelum ini.

“Ulang kaji semula segala ilmu yang telah dipelajari sebelum ini agar setiap amalan yang dilakukan adalah selari dengan ajaran Nabi Muhammad SAW.

“Baginda bersabda: Ambillah kamu daripada aku ini tentang ibadah haji. Maka, ibadah haji tidak boleh dilakukan mengikut rasa atau tafsiran sendiri, sebaliknya mestilah berpandukan sunah Rasulullah SAW sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Umat Islam di Tanah Suci bakal menyambut hari Wukuf pada 5 Jun atau Khamis ini bersamaan 9 Zulhijjah 1446H, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Jumaat bersamaan 10 Zulhijjah 1446H.

Dalam pada itu, ujarnya, antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh para jemaah dalam baki tiga hari sebelum Masyair atau kemuncak haji ini adalah berkaitan dengan kesihatan diri.

“Beri tumpuan penuh terhadap penjagaan kesihatan dan elakkan melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan ketahanan fizikal temasuk pergerakan agresif atau menunaikan umrah sunat yang terlalu kerap sehingga menjejaskan kesihatan ketika menjelang pelaksanaan kemuncak ibadah haji.

“Jemaah juga disarankan melakukan persiapan teliti dari aspek keperluan peribadi dan logistik termasuk menyusun ubat-ubatan, ihram serta kelengkapan asas harian bagi memudahkan pergerakan dari Arafah ke Muzdalifah, Mina dan seterusnya ke Jamrah,” katanya.

Beliau turut meminta agar jemaah-jemaah haji menanamlan keikhlasan yang tulus semata-mata kerana Allah Taala.

“Kita lihat jemaah telah mengorbankan harta, masa dan tenaga demi menyahut seruan haji, namun jika ia dilakukan tanpa keikhlasan dan hanya bertujuan meraih gelaran haji, maka itu satu kerugian besar buat dirinya,” kata beliau.

Tambahnya, peluang ibadat ketika berada di Arafah perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan memperbanyakkan doa, zikir dan istighfar sebagai lambang kehambaan yang tulus kepada Allah SWT.

Read Entire Article
Pertanian | | | |