Lima cedera diserang anjing Rottweiler

1 day ago 6

BALING – Lima orang dilaporkan cedera akibat diserang dua ekor anjing baka Rottweiler dalam kejadian di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di sini kira-kira pukul  5.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, kejadian berlaku selepas dua ekor anjing itu dipercayai terlepas dari rumah pemiliknya.

“Sehingga kini, kami masih belum menerima laporan daripada mangsa-mangsa terlibat kerana mereka sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pihaknya dimaklumkan dua ekor anjing itu dipercayai terlepas daripada pemiliknya dan berkeliaran kira-kira pukul 5.45 pagi.

“Anggota polis dari rondaan cegah jenayah (RCJ) Kuala Ketil segera ke tempat kejadian untuk mententeramkan keadaan dan bertemu dengan pemilik anjing.

“Anjing-anjing itu sudah dikurung dan pemiliknya diarah untuk menyerahkan haiwan itu kepada pihak Jabatan Veterinar Kulim untuk pemeriksaan dan kuarantin dengan segera,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Yahaya berkata, berdasarkan maklumat awal, anjing Rottweiler itu mempunyai lesen untuk premis perniagaan dan pihaknya akan menyiasat punca ia dipelihara di rumah.

“Difahamkan anjing-anjing itu mempunyai sejarah serangan melibatkan seorang mangsa dua tahun lalu yang menyebabkan seorang lelaki cedera.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyiasat cara pengendalian anjing-anjing itu dan mengambil tindakan terhadap pemiliknya, biarkan jabatan menjalankan siasatan mereka terlebih dahulu,” katanya.

Katanya lagi, pihak Majlis Daerah Baling (MDB) tidak mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap anjing yang berlesen kerana bidang kuasanya hanya meliputi anjing terbiar.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar, MDB, dan pihak polis akan menjalankan siasatan esok dan akan memanggil pemiliknya untuk memutuskan sama ada anjing-anjing itu perlu dipindahkan ke lokasi lain, diletakkan di bawah penjagaan pusat perlindungan haiwan, atau dihapuskan mengikut garis panduan dan akta yang betul,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |