‘Rasa sunyi, kosong’ – Awie tunggu anak balik raya sehari dua lagi

1 day ago 11

PETALING JAYA – Akur mengikut giliran, penyanyi Datuk Awie mengakui beremosi pada pagi 1 Syawal apabila anak-anak daripada dua perkahwinan terdahulu tiada di sisi kerana berhari raya dengan ibu masing-masing.

Kata Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman, 57, dia dan isteri, Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin menyambut lebaran secara bersederhana sebelum dapat berkumpul seisi keluarga pada hari ketiga Aidilfitri.

“Berbeza daripada tahun lalu, kali ini persiapan biasa sahaja kerana ada anak-anak saya yang tidak dapat beraya bersama kami. Mereka balik ke rumah ibu mereka dahulu.

“Sedih juga kerana rumah terasa sunyi dan kosong. Saya tunggu mereka balik dalam sehari dua lagi dan kemudian kami beraya semula.

“Saya dan isteri tetap buat persiapan terutama menghias rumah dan beraya, cuma tak semeriah macam tahun lalu ketika semua ada,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut vokalis kumpulan Wings itu, bukan sengaja berasa kekurangan namun ketiadaan semua belahan jiwanya di sisi terutama puteri sulungnya membuatkan hati dibalut sayu.

“Kalau tiada anak-anak depan mata boleh buatkan saya jadi lemah,  tambahan pula mereka kini sudah semakin dewasa.

“Seorang bapa mengenali erti tanggungjawab daripada anak sulungnya, memang terasa bila dia tiada. Bukanlah yang lain tidak memberi makna. Semua sama penting, namun anak sulung yang beri gelaran ayah kepada kita.

“Saya tak tahulah kalau dia nak kahwin nanti macam mana tetapi raya tetap raya, kita kena diraikan kemenangan berpuasa,” katanya kepada Kosmo! Online.

Begitupun sudah menjadi rutin, anak-anak akan bermaaf-maafan dengannya terlebih dahulu sebelum beraya dengan ibu masing-masing.

Terdahulu, Awie berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira dan dikurniakan  Putri Aleeya Antasha, 25, serta Putri Aleefa Antasha, 23, sebelum bercerai pada 2006.

Menerusi perkahwinan kedua bersama Rozana Misbun, Awie memiliki tiga cahaya mata, Putra Ahmad Merrah, 18, Putra Ahmad Rezzki, 17, dan Putri Qasseh Antasha 15. Mereka bercerai pada 2014.

Pelakon filem Hantu Kak Kak Limah itu bertemu jodoh buat kali ketiga dengan Sharifah Ladyana pada 7 Oktober 2016 dan mempunyai dua anak iaitu Putra Ahmad Andeeka, 4, serta Putra Ahmad Arjunna, lapan bulan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |