NCAA bakal saksikan kehebatan Azeem

6 days ago 13

PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi sah melangkah ke Kejohanan Akhir Olahraga Dalam Dewan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia, Amerika Syarikat (AS) yang akan diadakan pada 14 Mac ini.

Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard mengesahkan perkara tersebut selepas dimaklumkan sendiri oleh jurulatih Azeem di Universiti Auburn iaitu Ken Harnden.

“Jurulatih Ken (Harnden) telah mengesahkan kepada saya bahawa Azeem telah layak ke acara akhir NCAA. Beliau kini berada dalam kelompok 13 terbaik untuk beraksi pada kejohanan tersebut 14 Mac nanti,” kata Ballard.

Ketika ditanya mengenai perjalanan Azeem tahun ini, Ballard turut menegaskan pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan berusia 21 tahun itu dengan catatan 10.09 saat (s) itu akan menghadapi empat kejohanan besar termasuk Sukan SEA Thailand pada Disember depan.

“Kami harap begitu (Azeem beraksi di Sukan SEA) tetapi segala keputusan akan bergantung kepada pengajiannya di AS.

“Saya sempat berbual bersama jurulatihnya minggu ini. Sudah tentu kami sangat teruja dengan rekod kebangsaan baharu diciptanya (60m dalam dewan kebangsaan) dan apa yang boleh ditawarkan olehnya pada masa akan datang.

“Kami berharap Azeem kembali ke sini untuk Terbuka Malaysia dan Sukan SEA. Namun, kami memahami sasaran utamanya untuk kejohanan tahun ini adalah Terbuka Malaysia, Universiti Dunia, Kejohanan Dunia serta Sukan SEA.

“Dia mempunyai empat kejohanan utama yang mahu ditumpukan dengan Sukan SEA adalah yang terakhir,” katanya.

Terdahulu, Azeem kembali dengan prestasi terbaik apabila memadam rekod 60m kebangsaan dengan catatan 6.56s ketika merangkul pingat gangsa Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025.

Catatan itu memadam rekod lama miliknya, 6.60s yang dilakukan dalam tempoh kurang sebulan, sekali gus meletakkan dirinya dalam kelompok 10 pelari terbaik Universiti Auburn.

Read Entire Article
Pertanian | | | |