KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli meneruskan aksi meyakinkan apabila mengesahkan tempat ke sesi kelayakan kedua (Q2) di Grand Prix (GP) Jerman selepas menamatkan sesi latihan di kedudukan ketujuh, sebentar tadi.
Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu mencatat masa sepusingan satu minit 25.975 saat (s), sekali gus berada dalam kelompok 14 pelumba terbaik yang layak secara automatik ke Q2.
Pada aksi di Litar Sachsenring tersebut pelumba kelahiran Terengganu itu hanya ketinggalan 0.127s di belakang pelumba terpantas dari Indonesia, Veda Pratama dari Honda Team Asia yang mencatat 1:25.848s.
Kedudukan kedua menjadi milik pelumba Sepanyol, Joel Esteban dengan catatan 1:25.856s, manakala Eddie O’Shea dari Britain melengkapkan kelompok tiga terbaik menerusi masa 1:25.883s.
Terdahulu, Hakim Danish berdepan detik mencemaskan apabila terjatuh pada awal sesi latihan bebas pertama (FP1), namun kembali bangkit menamatkan sesi itu di kedudukan ketujuh terpantas dengan catatan 1:26.295s.
“Syukur Alhamdulillah, hari ini di GP Jerman saya berjaya layak secara automatik ke Q2. Pada sesi pagi tadi, saya terjatuh pada awal saingan sebelum kembali ke pit untuk membolehkan mekanik membaiki jentera.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan atas usaha mereka. Selepas itu, saya cuba tenangkan diri dan mendapatkan semula rentak secara berperingkat, lap demi lap.
“Ketika bersama pasukan, kami menganalisis data dan mengenal pasti sektor serta bahagian litar yang perlu diperbaiki. Alhamdulillah, saya berjaya meningkatkan catatan masa.
“Di litar ini, jurang antara pelumba sangat rapat, hanya dipisahkan beberapa milisaat. Insya-Allah saya akan terus berusaha memperbaiki prestasi dan berharap dapat memberikan aksi yang lebih baik pada sesi esok,” katanya.
Pencapaian di Sachsenring itu menyaksikan Hakim Danish layak secara automatik ke Q2 buat kali keenam musim ini selepas turut melakukannya di GP Brazil, Perancis, Catalunya, Belanda dan Republik Czech.
Sesi kelayakan Q2 esok bakal menjadi pentas penting buat Hakim Danish untuk memburu petak hadapan bagi mencerahkan peluangnya mencabar kelompok podium pada perlumbaan GP Jerman, Ahad ini. -KOSMO! ONLINE

5 hours ago
2

















































