SELAYANG – “Kalau dah satu kampung, penduduk tempatan nak main mana?”
Demikian persoalan yang timbul selepas sebuah video dimuat naik pempengaruh media sosial, Awie MBR atau dikenali sebagai Abang Koroy di aplikasi Threads memaparkan sekumpulan individu dipercayai warga Rohingya berkumpul di sebuah taman awam di Taman Wilayah, Selayang.
Berdasarkan video tersebut, kawasan taman yang sepatutnya menjadi ruang riadah masyarakat setempat dilihat dipenuhi lebih 30 individu dalam satu-satu masa sehingga menimbulkan persoalan mengenai keselesaan penduduk tempatan untuk menggunakan kemudahan berkenaan.
Ada dalam kalangan mereka dilihat bermain bola, manakala beberapa keluarga pula duduk berkelah di celah-celah kawasan permainan sambil membiarkan anak-anak bermain di gelongsor dan kemudahan lain.
Menerusi hantaran itu, Awie turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keadaan tersebut dan mendakwa kemudahan awam berkenaan semakin dikuasai kumpulan warga asing.
“Ini bukan lagi sekadar pelarian, tapi ini adalah pencerobohan dan penjajahan di Taman Wilayah Selayang! Belum cerita lagi mereka bawa masuk produk negara sendiri seludup masuk negara kita!” tulisnya.
Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya mempersoalkan penggunaan kemudahan awam apabila jumlah individu yang berkumpul terlalu ramai.
“Bukan tak boleh guna taman, tapi kena tengok juga jumlah. Kalau terlalu ramai sampai orang lain rasa tak selesa, itu sudah jadi masalah,” kata Shahrul.
Seorang pengguna lain @elyzz berharap pihak berkuasa tempatan dapat memantau keadaan di taman berkenaan bagi memastikan semua pihak dapat menggunakan kemudahan awam secara adil dan selesa.
“Harap pihak berkuasa pantau. Taman ini untuk semua, jangan sampai penduduk setempat pula rasa terpaksa cari taman lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
10


































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)














