PETALING JAYA – Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), pengeluar motosikal nasional dan ahli Kumpulan DRB-HICOM meraikan ulang tahun ke-30 dengan pelancaran skuter Elit 150S, yang ditawarkan pada harga RM7,877.
Direka untuk penunggang bandar masa kini, Elit 150S menggabungkan gaya kontemporari, teknologi canggih dan praktikaliti untuk kegunaan harian bagi memberikan saingan hebat dalam segmen pasaran skuter tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, pelancaran Elit 150S menggariskan komitmen pihaknya untuk menyampaikan penyelesaian mobiliti yang boleh dipercayai dan bersedia untuk masa hadapan.
“Pelancaran ini amat bermakna kerana ia merapatkan legasi 30 tahun yang membanggakan dengan perjalanan yang menarik di masa hadapan,” katanya pada majlis Malam Gala Ulang Tahun ke-30 Modenas di M World Hotel, malam tadi.

Elit 150S didatangkan dengan lampu depan LED berkembar dan lampu nyalaan siang, serta memiliki sistem kunci pintar dan ruang penyimpanan bawah tempat duduk 23 liter.
Terasnya ialah enjin 150cc yang mematuhi Euro 4, penyejuk cecair memberikan kuasa 10.5 kW pada 8,250 rpm dan tork 13.5 Nm pada 6,750 rpm, menawarkan prestasi yang kukuh dengan kecekapan bahan api.
Selain itu, meter laju LCD memastikan bacaan jelas, dilengkapi brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api 12 liter menyediakan jarak sehingga 480 kilometer (km) pada satu isian.
Elit 150S didatangkan dalam dua warna iaitu biru Riviera dan kelabu Quantum. – KOSMO! ONLINE
