KUALA LUMPUR – “Saya menggigil dalam ketakutan apabila terima panggilan daripada pihak hospital memaklumkan suami cedera ditikam.”
Demikian kata Nurfazliana Osman, 35, isteri kepada anggota polis Koperal Mohd. Nadzri Sudirman yang cedera ditikam di bahagian perut oleh seorang lelaki di Pasar Pudu, di sini, kelmarin.
Nurfazliana berkata, dia menerima panggilan daripada pihak hospital kira-kira pukul 1 petang yang memaklumkan suaminya cedera ditikam serta perlu dibedah.
“Suami perlu dibedah untuk buang ususnya yang terkoyak dan hospital memerlukan persetujuan saya,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras di sini, hari ini.
Hadir sama, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentabiran) Bukit Aman, Datuk Azizee Ismail, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail dan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan.
Nurfazliana yang menetap di Kuarters Balai Polis Pudu berkata, suaminya menjalani pembedahan selama lima jam sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kardiotorasik (CICU) untuk pemantauan lanjut.
Jelasnya, keadaan suami ketika ini semakin stabil namun masih lemah dan memerlukan rawatan rapi daripada pihak hospital.
“Walaupun saya sedia tahu risiko serta cabaran anggota polis semasa bertugas tapi sebagai isteri tetap ada rasa bimbang serta takut.
“Saya tidak pasti berapa lama lagi suami akan berada di hospital. Anak-anak yang berusia 11 dan tujuh tahun juga tahu keadaan ayahnya, malah mereka lebih tenang berbanding saya,” ujarnya
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari, Khamis lalu, Mohd. Nadzri, 35, yang juga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah berhampiran Pasar Pudu di sini.
Anggota itu kemudian menahan suspek berusia 56 tahun untuk pemeriksaan sebelum dia ditikam di bahagian perut dengan menggunakan pisau. KOSMO! ONLINE