McDonald’s Malaysia labur RM1 bilion untuk tempoh lima tahun

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Pelaburan RM1 bilion telah diumumkan McDonald’s Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang bertujuan untuk memacu pertumbuhan dan pemodenan syarikat itu di seluruh negara.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, daripada jumlah tersebut, RM600 juta diperuntukkan untuk pembukaan restoran baharu dalam tempoh tersebut.

Selain itu katanya, peruntukan itu juga termasuk latihan kakitangan baharu dan inisiatif pembangunan belia di bawah Akademi Vokasional McDonald’s.

“Manakala, RM200 juta bagi pengubahsuaian dan pemodenan lebih 150 restoran McDonald’s Malaysia sedia ada dan RM200 juta lagi untuk inisiatif teknologi dan pendigitalan.

“Kita juga akan terus mengu­kuhkan kehadiran di Sabah dan Sarawak serta di seluruh Semenanjung Malaysia terutamanya di kawasan permintaan tinggi serta didorong oleh pelancongan.

Azmir Jaafar

“Kami melihat potensi pertumbuhan yang ketara di Sabah dan Sarawak, memandangkan masih banyak bandar tidak mempunyai restoran McDonald’s,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Semula McDonald’s Pandu-Lalu Titiwangsa di Jalan Pahang baru-baru ini.

Cawangan Titiwangsa ini juga merupakan restoran pandu-lalu McDonald’s pertama, yang mula beroperasi sejak 1988.

Restoran itu kini tampil dengan reka bentuk baharu berkonsep Luna, menjadikannya restoran konsep Luna pertama di Malaysia dan yang kedua di Asia.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, menerusi pelaburan baharu itu juga, McDonald’s Malaysia akan mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan kepada ribuan isi rumah di Malaysia.

Malah katanya, syarikat itu mempunyai kira-kira 16,000 kakitangan dan mengekalkan dasar pengambilan pekerja 100 peratus warga Malaysia yang mana setiap restoran yang dibuka bukan sekadar menyajikan makanan, tetapi turut merangsang aktiviti ekonomi tempatan.

“Pembukaan restoran baharu mewujudkan pekerjaan berterusan kepada kru, barista, penghantar makanan dan pengurus, di sam­ping menjana permintaan untuk kerja-kerja pengubahsuaian, peralatan, logistik, pembersihan dan keselamatan sekali gus menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam rantaian bekalan,” ujarnya.

Tambah Azmir, ketika ini pihak­nya sedang mengendalikan lebih 370 restoran di seluruh negara dan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 26 peratus pada tahun 2025 walaupun beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.

Dari segi pembangunan modal insan pula, beliau memberitahu, latihan telah disediakan di Akademi Vokasional McDonald’s dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia di bawah Sistem Latihan Dual Nasional.

“Sejak 2018, akademi ini telah melatih lebih 5,000 belia, termasuk peserta daripada komuniti B40, kawasan luar bandar, orang kurang upaya dan kumpulan Orang Asli.

Kira-kira 80 peratus daripada mereka telah memilih untuk meneruskan kerjaya mereka dengan kami.

Mengimbau kenangan lalu di cawangan ini membuatkan restoran McDonald’s Pandu-Lalu Titiwangsa begitu dikenali dan dekat di hati para pelanggannya dan warga kota.

“Akademi itu berperanan sebagai saluran bakat bukan sahaja untuk McDonald’s tetapi juga untuk ekosistem makanan dan minuman serta hospitaliti Malaysia yang lebih luas,” ujarnya.

Selain itu, Azmir berkata, McDonald’s Malaysia sentiasa ­menyokong ekosistem PKS dengan menyediakan rantaian bekalan tempatan yang diperoleh dan dihasilkan dalam negara.

“Ketika ini Malaysia merupakan salah satu pengeksport produk makanan halal terbesar dalam rantaian bekalan global McDonald’s yang membantu mengukuhkan rantaian bekalan domestik dan menyokong pembekal dan petani tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau membe­ritahu, McDonald’s Malaysia turut menyokong inisiatif terhadap kelestarian alam dengan projek pemasangan panel solar di 100 lagi restoran menjelang suku keempat 2026.

Beliau berkata, pemasangan baharu itu menjadikan jumlah restoran yang menggunakan tenaga solar melebihi 200 lokasi.

“Penggunaan tenaga boleh diperbaharui ini merupakan matlamat jangka panjang kami ke arah perniagaan yang dipacu kelesta­rian.

“Kami juga sedang beralih ke arah penghapusan penggunaan plastik dengan menggantikan pembungkusan berasaskan kertas, selaras dengan komitmen kami untuk mengurangkan impak alam sekitar.

“Di samping pengembangan perniagaan, tujuan kami juga adalah untuk menyantuni dan membangunkan komuniti.

“Sejak 2017, kami telah menganjurkan lebih 10,000 aktiviti komuniti setiap tahun, termasuk sokongan Ramadan bersama masjid dan surau, sambutan perayaan, lawatan ke rumah kebajikan serta inisiatif kesihatan dan pendidikan untuk kanak-kanak dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia),” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |