MELAKA – Birkin International Hotel (Birkin Hotel) bakal menjadi hotel terkemuka di negeri ini dan menjadi pilihan pengunjung bukan sahaja daripada kalangan pelancong dalam negeri malah di luar negara kerana prestasinya yang konsisten, kestabilan jenama dan juga sebagai tempat pembangunan bakat.
Pengurus Besarnya, Kevin Lee Kuan Hsien berkata, misi ini mampu dicapai hotel tersebut dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang malah ia juga akan membantu menyokong pelbagai acara dan menjadi tuan rumah kepada delegasi persidangan, mesyuarat dan penganjuran ekspo.
Menurut beliau, Birkin Hotel juga dapat menyampaikan hospitaliti bertaraf dunia dengan usaha meraikan identiti pelbagai budaya Melaka, termasuk identiti Peranakan.
“Kami bersedia untuk meningkatkan piawaian hospitaliti Melaka sambil menyumbang kepada visi bandar ini sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya dalam kenyataan.
Kevin telah memegang jawatan Pengurus Besar Birkin Hotel berkuat kuasa Januari lalu.

“Visi saya adalah untuk menjadikan Birkin Hotel sebagai hotel mewah terunggul di Melaka, disokong oleh pasukan yang seiring, berdaya saing dan berorientasikan prestasi.
“Matlamat kami juga adalah untuk meletakkan Birkin sebagai jenama hotel terbaik di Melaka yang dibina atas konsistensi operasi dan pelaksanaan asas yang mantap setiap hari,” tambahnya.
Kevin membawa lebih 20 tahun pengalaman kepimpinan dalam industri hospitaliti, merangkumi jenama antarabangsa termasuk IHG serta hartanah mewah bebas di Taiwan dan Malaysia.
Rekod pencapaiannya merangkumi pengurusan pra-pembukaan, operasi, pemulihan kewangan dan penyelarasan pelbagai hartanah, dengan penekanan terhadap kecemerlangan operasi dan pembangunan pasukan.
Beliau dikenali dengan gaya kepimpinan berteraskan penglibatan langsung serta keupayaan perniagaan yang kukuh, Kevin pakar dalam integrasi sistem dan pengoptimuman kewangan.
Birkin Hotel adalah hotel mewah pertama di Malaysia yang dibangunkan oleh syarikat berpangkalan di Taiwan, YeaShin International Development Co Ltd, sebuah projek mercu tanda 526 bilik bernilai RM500 juta.
Reka bentuk hotel dan pengalaman tetamu berakar umbi dalam warisan Melaka, menampilkan seni bina berinspirasikan Peranakan, elemen budaya tempatan dalam bilik tetamu, serta cita rasa serantau autentik di kesemua restoran di dalam hotel ini. -KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3

















































