SERDANG – Orang ramai terutama golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disaran tidak menunggu sehingga mampu membeli tanah sendiri sebelum menceburi bidang pertanian, sebaliknya memulakan langkah dengan menyewa tanah yang kosnya jauh lebih rendah dan kurang berisiko.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kaedah sewaan terbukti lebih praktikal dan menguntungkan berbanding pembelian tanah yang memerlukan modal besar sehingga boleh menjejaskan pulangan pelaburan.
Menurutnya, pengalaman di Melaka menunjukkan kebanyakan petani sayur berjaya bertahan sehingga lebih 20 tahun kerana memilih untuk menyewa tanah berbanding membeli.
“Kalau beli tanah harga RM200,000, nak dapat balik modal itu bukan mudah. Silap-silap, cucu kita pun belum tentu boleh rasa untungnya. Tapi kalau sewa RM1,000 atau RM2,000, kita dah boleh mula bertani.
“Risikonya lebih kecil, modal pun rendah. Sebab itu sewaan adalah kaedah terbaik untuk memulakan pertanian,” katanya pada sidang akhbar selepas Lawatan Kerja Program Usahawantani Putra-Perhebat di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Adly menegaskan, pengurusan kos merupakan faktor utama yang menentukan kelangsungan sesuatu projek pertanian, malah kegagalan mengawal kos sering menjadi punca ramai pengusaha tidak mampu bertahan lama.
Katanya, penggunaan teknologi moden memang penting bagi meningkatkan produktiviti, namun usahawan baharu dinasihatkan supaya tidak terburu-buru melabur dalam peralatan mahal.
“Tak perlu terus beli mesin automasi. Mulakan secara manual dulu supaya kita faham proses, risiko dan kos. Bila dah stabil, barulah guna teknologi untuk tingkatkan hasil,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan penggunaan sumber semula jadi sebagai makanan ternakan bagi mengurangkan kos operasi, selaras dengan pendekatan pertanian lestari yang semakin diberi perhatian.
Dalam masa sama, Adly berkata, Program Usahawantani Putra-Perhebat berjaya menghasilkan lebih 34 tan hasil pertanian merangkumi cili, terung, ikan keli dan sun melon, sekali gus membuktikan potensi besar sektor itu jika diurus secara sistematik.
Katanya, kerjasama antara Kementerian Pertahanan, Perhebat dan UPM akan terus diperkukuhkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada veteran ATM menceburi bidang pertanian sebagai kerjaya kedua.
“Kita mahu veteran mulakan secara kecil dahulu, bina pengalaman, kawal kos dan tingkatkan keupayaan. Bila sudah bersedia, barulah kita pergi ke skala lebih besar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2

















































