SUNGAI SIPUT – Kementerian Pertahanan (Mindef) menitikberatkan maklumat kesihatan untuk memastikan mereka yang menyertai sebarang program latihan termasuk separa tentera benar-benar melepasi kriteria tersebut.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, ini memandangkan latihan ketenteraan adalah lasak dari segi fizikal, sekali gus memerlukan tahap kesihatan disaring.
“Maklumat kesihatan atau apa sahaja yang terkait dengan kesihatan, bukan sahaja laporan (kesihatan) daripada peserta, malah kita juga memang ada ujian-ujian kesihatan ini.
“Kita tidak mahu laporan kesihatan disembunyikan. Ia akan memberi kesan sebab kita tahu latihan ketenteraan secara fizikal agak keras sedikit,” katanya kepada pemberita semasa program Veteran Desa Madani (VDM) daerah Sungai Siput di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kes kematian seorang pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meninggal dunia di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram di Johor pada 28 Julai lalu.
Kes itu mendapat perhatian negara apabila ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menuntut siasatan telus berhubung kematian anaknya, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, kerana merasakan kecederaan teruk pada tubuh jenazah tidak selari dengan maklumat awal yang dimaklumkan kepadanya.
Adly Zahari berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama kepada siasatan kes tersebut yang dikendalikan oleh pihak polis.
“Pada masa yang sama, Kementerian Pertahanan juga akan membuat siasatan dalaman untuk melihat apa aspek yang harus diperbaiki.
“Kita di Kementerian Pertahanan, latihan kita memang agak tegas tetapi kita tidak boleh terima sebarang bentuk pembulian. Sesiapa sahaja melakukan kesalahan, dia akan berdepan tindakan disiplin daripada peringkat kementerian selain perundangan,” katanya.
Jelasnya, pihak kementerian mahu semua pihak diberi keadilan yang saksama termasuk mangsa dan juga pentadbir.- KOSMO! ONLINE