LIVERPOOL – Liverpool meneruskan pemburuan quadruple mereka untuk memenangi empat gelaran musim ini dengan melangkah ke pentas final Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Newcastle United di Stadium Wembley pada 16 Mac depan.
Kejayaan itu hadir menerusi kemenangan agregat 4-1 ke atas Tottenham Hotspur selepas meledak empat gol dalam aksi separuh akhir kedua di Anfield awal pagi semalam.
Empat gol daripada Cody Gakpo, Mohamed Salah, Dominik Szoboszlai dan Virgil van Dijk mengesahkan tempat buat The Reds untuk merebut trofi pertama daripada empat kejuaraan disertai mereka musim ini.
Buat masa ini, Liverpool mendahului enam mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan selain mara pusingan 16 Liga Juara-Juara dan bakal menentang pasukan liga bawahan, Plymouth Argyle di pusingan keempat Piala FA pada Ahad ini.
Pengurus Liverpool, Arne Slot yakin mampu memenangi trofi pertamanya selepas dilantik menggantikan tempat Jurgen Klopp awal musim ini sekali gus membalas kepercayaan para penyokong setia pasukan itu.
“Saya rasa kami sudah melalui beberapa malam hebat di sini (Anfield) dan dapat mara ke final (Piala EFL) sentiasa menjadi satu pengalaman yang cukup istimewa.
“Di Belanda, kami hanya mempunyai satu piala untuk menjadi rebutan dan final itu dimainkan pada penghujung musim, jadi ini adalah pengalaman baharu tetapi begitu indah untuk dimiliki.
“Ia bukan hanya stadium (Wembley) yang istimewa untuk orang Inggeris tetapi juga buat Belanda kerana kami tahu sejarahnya dan makna final ini nanti,” kata bekas pengendali Feyenoord itu.
Begitupun, Slot mahu barisan pemain segera mengalihkan fokus kepada aksi seterusnya berdepan Plymouth dan derbi Merseyside menentang seteru tradisi, Everton di Goodison Park pada Khamis nanti.
Liverpool dijangka menurunkan skuad simpanan berdepan Plymouth sebelum membariskan kesebelasan terkuatnya menghadapi Everton dalam misi melebarkan penguasaan di puncak EPL kepada sembilan mata. – AGENSI