PETALING JAYA – Seorang pakar pediatrik memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa Zayn Rayyan Abdul Matin diagnosis sebagai Autism Spectrum Disorder (ASD).
Dr. Bernice Lim Pei-Yi ,37, yang merupakan bekas pakar pediatrik Jabatan Pediatrik Hospital Selayang berkata diagnosis itu diperoleh berdasarkan dua nota (perubatan) yang pernah direkod dalam sistem komputer Hospital Selayang.
“Berdasarkan nota-nota tersebut, kali pertama pesakit tersebut dibawa kepada Klinik Pediatrik Hospital Selayang adalah pada 4 Oktober 2022 dan kali kedua (terakhir) adalah pada 5 September 2023. Pada 20 Disember 2023, saya diarahkan untuk menulis laporan untuk pesakit bernama ‘Zayn Rayyan Abdul Matin’ dan laporan tersebut disiap dan diserahkan pada hari yang sama
“Pesakit tersebut diberi diagnosis Autism Spectrum Disorder dan disarankan untuk menghadiri terapi untuk penyakit tersebut,” kata saksi itu dalam pernyataan saksinya.
Dalam prosiding sama, saksi itu turut memaklumkan Zayn Rayyan hanya boleh bercakap menggunakan 30 perkataan.
Ia yang mana kanak-kanak itu masih belum menyambung perkataan yang mana ia tidak selari dengan perkembangan kanak-kanak berumur enam tahun.
“Secara am, jika seorang pesakit yang berumur enam tahun seperti Zayn Rayyan tidak dapat menunjukkan perkembangan yang selari dengan usia, ia dikira “delay” (kelambatan),” ujar saksi itu lagi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi 7 April ini.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE