PETALING JAYA – SP Setia Bhd. (Setia) menyerahkan Emporia, iaitu pembangunan pejabat kedai pertama di perbandaran Setia Alamsari di Kajang pada 22 Februari 2025, beberapa bulan lebih awal daripada tarikh sasaran awal 20 Ogos.
Emporia itu terletak di dalam perbandaran Setia Alamsari di Kajang, dilancarkan pada Ogos 2022 dan telah mencapai 100 peratus jualan.
Pengurus Besar Bahagian Setia, Koh Sooi Meng berkata, Emporia bersedia menjadi destinasi perniagaan dan gaya hidup yang berkembang maju selain menawarkan gabungan peruncit, restoran- dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan komuniti yang semakin berkembang di Setia Alamsari.
“Ia menampilkan 30 unit pejabat kedai dua tingkat dengan pelbagai peruncit, restoran dan perkhidmatan seperti Q Bistro, RBS Bistro, Mixue, Ecoshop dan Restoran Syed Maju Nasi Kandar Signature.
“Sebelum pemilikan kosong, Emporia telah mencapai 90 peratus kedai yang telah ditempah untuk disewakan, mencerminkan permintaan dan keyakinan yang kukuh terhadap hab komersial ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM60.2 juta, Emporia menawarkan saiz tanah dari 22 kaki kali 75 kaki, dengan binaan 3,208 kaki persegi hingga 6,646 kaki persegi, manakala harga 30 unit itu berjulat dari RM1.57 juta hingga RM3.71 juta.
Katanya, Emporia akan memberi perkhidmatan kepada lebih 151,000 penduduk yang bermastautin di kawasan kejiranan berpenduduk sekitar dalam radius 5 kilometer (km) di Semenyih, Bandar Baru Bangi, Bangi Avenue, Bandar Seri Putra, Lambaian Residence, Serene Heights dan Southville City.
“Fasa pembangunan bercampur ini telah meraih sambutan menggalakkan daripada pemilik perniagaan F&B, pasar raya, barangan runcit dan klinik yang berminat untuk menjalankan perniagaan mereka di Setia Alamsari.
“Sementara itu, kadar sewa lot kedai perantaraan di kawasan itu boleh mencecah antara RM9,000 hingga RM11,000 sebulan, manakala lot kedai sudut boleh meningkat antara RM20,000 hingga RM25,000 sebulan,” katanya.
Sebelum ini, pelancaran lot kedai Teman telah merekodkan kadar penggunaan sebanyak 90 peratus sejak dilancarkan pada Disember 2024.
Teman terdiri daripada 37 lot kedai dengan jumlah GDV RM106 juta, di mana 20 unit perantaraan dengan binaan 3,332 kaki persegi berharga daripada RM1.91 juta, manakala seluas 5,184 kaki persegi berharga daripada RM3.4 juta.
Pelancaran itu juga terdiri daripada 12 unit berkembar dengan keluasan binaan 4,882 kaki persegi (harga daripada RM3.93 juta) dan satu unit berkembar tunggal dengan keluasan binaan 5,531 kaki persegi dan berharga RM6.22 juta.
Tinggal empat unit berkembar yang berharga RM4.13 juta sahaja yang masih ada untuk dijual. – KOSMO! ONLINE