Cuepacs harap kerajaan teruskan tradisi ‘duit raya’ kepada penjawat awam

10 hours ago 3

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon pertimbangan kerajaan untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam bagi meringankan beban perbelanjaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, tradisi pemberian Bantuan Khas Kewangan setiap kali menjelang Aidilfitri adalah satu inisiatif yang amat dihargai dan dinanti-nantikan oleh penjawat awam bagi memastikan kesejahteraan mereka dan keluarga dalam membuat persiapan perayaan.

“Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri bukan sahaja dinanti-nantikan oleh penjawat awam, tetapi juga memberi manfaat kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan dan peruncit yang turut bergantung kepada lebihan wang daripada bantuan ini untuk meningkatkan hasil jualan mereka.

“Apabila penjawat awam mempunyai lebihan kewangan untuk berbelanja, kesan limpahan ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk usahawan kecil, peniaga makanan, serta sektor perkhidmatan lain yang bergantung kepada peningkatan kuasa beli rakyat menjelang perayaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adnan berkata, dalam keadaan kos sara hidup yang masih tinggi, bantuan khas ini akan sedikit sebanyak membantu penjawat awam menguruskan keperluan kewangan mereka dengan lebih baik.

“Sebagai tulang belakang perkhidmatan kerajaan, penjawat awam sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.

“Oleh itu, kami percaya bahawa kerajaan akan terus mengambil kira kepentingan dan kebajikan penjawat awam dengan mempertimbangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka,” katanya.

Katanya, Cuepacs amat menghargai perhatian dan pertimbangan kerajaan terhadap permohonan tersebut demi kesejahteraan penjawat awam yang terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |