JOHOR BAHRU – Sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, syarikat pembangunan hartanah UDA Holdings Berhad (UDA) menyantuni 100 anak yatim dan asnaf daripada Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Zahrin Zakaria berkata, setiap kanak-kanak bakal menerima kelengkapan raya bernilai RM300 masing-masing.
Katanya, UDA memperuntukkan RM30,000 menerusi sumbangan zakat wakalah bagi pelaksanaan program tersebut.
“Program ini memperkukuh komitmen kami terhadap komuniti memerlukan dengan menjalankan kewajipan mengagih zakat wakalah kepada golongan layak di sekitar wilayah pembangunan UDA selain bukti keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan komuniti khususnya Bumiputera,” katanya dalam majlis yang diadakan di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh.
Selain menerima kelengkapan Aidilfitri seperti baju Melayu, baju kurung, sampin, butang, songkok dan tudung, mereka turut dirai dengan majlis berbuka puasa.
Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Muhammad Fadzrul Naim Mohd. Khairu Hafizi, 15, memberitahu, ini pertama kali dia menerima sumbangan kelengkapan sempena Aidilfitri setelah menginap di Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, sejak tiga bulan lalu.
Seorang lagi penerima sumbangan, Siti Aisyah Khadijah Ezuddin, 13, pula memberitahu, dia teruja untuk memilih pakaian sempena Aidilfitri dan telah merancang membeli warna sama dengan rakannya.
“Rasa gembira sangat, saya dan beberapa kawan sudah berjanji untuk membeli pakaian raya berwarna kuning untuk Aidilfitri tahun ini,” katanya sambil memberitahu telah menginap di rumah perlindungan itu sejak lima tahun lalu. – KOSMO! ONLINE