Bergelar nenek pada usia muda bukanlah satu perkara yang asing, namun jarang kita dengari. Kebiasaannya wanita berusia 50 ke atas lebih sinonim dengan gelaran itu.
Minggu ini, Gala menyenaraikan lima selebriti popular dan stailo yang bergelar nenek pada usia muda.
- Barbara Mori
Pelakon telenovela Rubi itu pernah menempa populariti di Malaysia sekitar tahun 2005. Dia juga pernah muncul dalam filem Bollywood, Kites di samping Hrithik Roshan.
Siapa sangka Barbara yang jelita dan seksi iru telah bergelar nenek pada usia 38 tahun apabila anak tunggal lelakinya dikurniakan cahaya mata pada tahun 2016.
Pernah menghidap barah payudara, kini Barbara bahagia menjalani kehidupan bersama anak dan cucunya.
- Datuk Seri Siti Nurhaliza
Perjalanan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk bergelar nenek melalui zuriat kandungnya, Aafiyah dan Afwa masih terlalu jauh.
Namun menantu tirinya terlebih dahulu bersalin anak pertama pada 2013 menjadikan Siti seorang nenek pada usia 33 tahun. Sehingga kini Siti mempunyai lapan orang cucu tiri, tiga daripada pasangan Muhammad Anas dan Nasha Alyssa, tiga (Asyraf Khalid bersama Tya Ariffin), dua (Muhammad Asyraf dan Izara Aishah).
- Krisdayanti
Diva Indonesia, Krisdayanti memang terkenal dengan raut wajah jelita serta tubuh ramping.
Siapa sangka, pada usia 47 tahun, penyanyi yang popular dengan lagu Menghitung Hari itu bergelar nenek apabila anak perempuannya, Aurel Hermansyah menghadiahkan cucu pertama untuknya pada tahun 2022 hasil perkahwinan bersama pencipta kandungan terkenal, Atta Halilintar.
Kini Kris yang juga merupakan ahli politik memiliki dua orang cucu.
- Didie Alias
Siapa yang tidak mengenali selebriti serba boleh ini. Pernah mendapat julukan Lady Gaga Malaysia dek gayanya yang ranggi dan ‘avant-garde’.
Didie Alias bergelar nenek pada usia 44 tahun apabila anak sulungnya melahirkan cucu pertamanya pada tahun 2018. Kini pelakon filem Kanta Serigala itu memiliki lima orang cucu.
- Datin Sofia Jane
Biarpun sudah berusia 53 tahun, tetapi pelakon yang terkenal menerusi filem Perempuan, Isteri Dan …, Datin Sofia Jane kekal jelita. Tahun ini Sofia dikhabarkan bergelar nenek apabila anak perempuannya, Arissa Azman melahirkan anak sulung pada Mac lalu.