PASUKAN Kuala Lumpur City (KL City) mengesahkan kehadiran pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid bagi menguatkan pasukan menjelang kempen Liga Super musim depan.
Kehadiran Safawi disahkan oleh pengurusan The City Boys menerusi laman sosial rasmi kelab sekali gus mengukuhkan revolusi baharu pasukan menjelang kempen Liga Super yang akan bermula pada Ogos nanti.
“Selamat datang ke Ibu Kota, Safawi Rasid,” kata kenyataan skuad KL City.
Namun, terma kehadiran Safawi tidak didedahkan lebih lanjut tetapi difahamkan pemain berusia 29 tahun itu hadir selaku tonggak pinjaman daripada JDT sama seperti ketika berhijrah ke Terengganu FC (TFC) musim lepas.
Semalam, pengendali import dari Serbia, Risto Vidakovic turut diumumkan ketua jurulatih baharu bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Miroslav Kuljanac pada penghujung musim lepas.
“Satu babak baru bermula untuk The City Boys. Seorang jurulatih berpengalaman akan membawa kita ke hadapan.
“Mari bina sesuatu yang hebat bersama-sama! Selamat datang ke ibu kota, Coach Risto Vidakovic!,” kata kenyataan yang dikeluarkan KL City
Kehadiran Vidakovic selaku ketua jurulatih telah menamatkan spekulasi bahawa pengurusan skuad Warga Kota mahu mendapatkan khidmat bekas legenda kelab yang mengendalikan pasukan Sri Pahang musim lalu, Fandi Ahmad.
Vidakovic bukanlah nama asing dalam arena bola sepak tempatan kerana pernah membimbing Melaka United pada tahun 2022.
Selain itu, pengendali berusia 56 tahun ini turut pakar dalam saingan bola sepak rantau Asia Tenggara apabila pernah mengendalikan kelab seperti Lion City Sailors (Singapura), PSS Sleman (Indonesia) dan Ceres Negros (Filipina). – KOSMO! ONLINE