SUNGAI PETANI – Seorang lelaki yang disyaki menikam seorang wanita dan peniaga telefon bimbit sehingga mati di Taman Nona, Guar Chempedak di Yan, di sini malam kelmarin berjaya ditahan di Kuala Terengganu pada semalam.
Suspek berusia 29 tahun difahamkan melarikan diri ke Kuala Terengganu sejauh kira-kira 420 kilometer (KM) selepas melakukan pembunuhan kejam itu.
Dia kemudian dibawa ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani untuk proses reman kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Majistret Noor Fazlina Musa memerintahkan lelaki terbabit direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Peguam mewakili suspek, Abdul Hayyi Salim hadir yang hadir pada proses reman tersebut memberitahu, dia difahamkan lelaki terbabit difahamkan ditahan berhadapan sebuah kedai di tepi jalan di Kuala Terengganu pada pukul 9 pagi semalam.
“Hari ini mahkamah membenarkan suspek direman selama enam hari dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada suspek mengalami sebarang kecederaan, dia memaklumkan suspek dalam keadaan baik.
Menurutnya, suspek merupakan pekerja swasta dan sedang mencari kerja di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah mengesahkan suspek ditahan di Kuala Terengganu kira-kira pukul 9.45 pagi semalam.
Berhubung status hubungan antara suspek dan mangsa wanita masih dalam siasatan lanjut.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang lelaki dan wanita ditemui maut dengan beberapa kesan tikaman pada badan di Taman Nona di Guar Chempedak, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, mangsa lelaki dijumpai dalam keadaan terlangkup di atas jalan di hadapan sebuah rumah di situ, manakala mangsa wanita di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.
Jarak lokasi mangsa lelaki ditemui dengan kereta adalah kira-kira tujuh meter.
Kedua-dua mangsa berusia 30 dan 28 tahun itu yang menaiki kereta Proton Wira dikatakan diserang seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan mangsa wanita menggunakan senjata tajam. – KOSMO! ONLINE