KUALA LUMPUR – Usaha pendigitalan perkhidmatan pengangkutan awam membuktikan penerimaan positif selepas lebih separuh daripada pengguna pas bulanan MY50 kini memilih kaedah pembayaran digital menerusi Touch ’n Go eWallet.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, seramai 103,280 pengguna setakat bulan Januari lalu telah memperbaharui pas My50 menggunakan Touch ’n Go eWallet berbanding 86,094 pengguna yang masih menggunakan kaunter pembayaran fizikal.
“Angka itu menunjukkan trend peralihan jelas ke arah penggunaan digital, memandangkan secara purata lebih 200,000 pengguna melanggan My50 setiap bulan, dengan lebih 50 peratus kini menggunakan kaedah tanpa tunai.
“Pendigitalan My50 ini memudahkan pengguna kerana mereka tidak perlu lagi beratur di kaunter setiap bulan. Pembaharuan boleh dibuat pada bila-bila masa dan hanya perlu ‘tap’ kad untuk menggunakan perkhidmatan,” katanya ketika Prasarana lancar Penjejak Penjimatan Pas My50 di LRT Ampang Park, hari ini.
Tambah beliau, satu ciri baharu turut diperkenalkan yang membolehkan pengguna merekodkan perjalanan menggunakan My50 sama ada melalui perkhidmatan rel atau bas, selain memaparkan jumlah penggunaan dan penjimatan yang diperoleh.
“Kos sebenar pas My50 adalah sekitar RM150 sebulan, namun pengguna hanya membayar RM50 manakala kerajaan menanggung subsidi RM100 setiap bulan. Ini bermakna seorang pengguna menerima subsidi sehingga RM1,200 setahun,” ujarnya.
Katanya, pengguna juga akan menerima notis sekiranya jumlah perjalanan belum mencapai nilai RM50 bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara maksimum.
“Kerajaan komited untuk meneruskan inisiatif My50, lebih-lebih lagi dengan jangkaan peningkatan pengguna susulan pembukaan LRT3 tidak lama lagi.
“Selain itu, kerajaan juga telah membelanjakan hampir RM300 juta tahun lalu bagi menampung subsidi My50, termasuk tambahan RM136 juta berbanding peruntukan asal RM200 juta,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, inisiatif pendigitalan tersebut bukan sekadar penambahbaikan ciri, sebaliknya langkah strategik untuk memperkukuh keyakinan pengguna terhadap pengangkutan awam sebagai pilihan mobiliti harian yang mampan.
“Prasarana turut menawarkan kemudahan pembelian Pas Rapid Kota dan Pas Rapid Kembara yang kini ditawarkan secara digital menerusi program mini Travel Pass dalam aplikasi TNG eWallet, sekali gus memperluas akses pengguna kepada perkhidmatan pas perjalanan yang lebih mudah dan fleksibel,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3

















































